Usul Suruhanjaya Gig akan dibentang di Parlimen – PM

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 25 Mei – Usul yang dibawa golongan belia bagi mewujudkan Suruhanjaya Gig telah dipersetujui kerajaan dan akan dibentangkan di Parlimen, Julai ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembentangan rang undang-undang itu membuktikan bahawa Kerajaan mendengar suara anak muda yang kebanyakkannya bekerja dalam sektor berkenaan.

“Baru-baru ini ada usul daripada golongan belia yang meminta supaya diadakan Suruhanjaya Gig kerana puluhan ribu malah mencecah 100,000 anak-anak muda dalam ekonomi gig.

“Jadi, kerajaan telah menyiapkan undang-undang Suruhanjaya Gig dan insya-Allah boleh dibentangkan di Parlimen pada Julai akan datang, dan bila kita dengar suara belia, kita cuba bukan sekadar santuni tapi kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara 2024 (HBN2024) Peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan di Banda Hilir, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pemimpin-pemimpin Kanan Kerajaan Persekutuan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Turut bersama, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dan belia-belia seluruh negara.

Dalam pada itu, Anwar menyatakan Malaysia kini sudah mendapat perhatian baharu dan mampu menjadi sebuah negara yang lebih hebat dan membanggakan di rantau ini.

Namun begitu, beliau meminta rakyat agar dapat bersatu dengan menghilangkan keangkuhan, sikap perkauman sempit dan fahaman kabilah serta kenegerian yang melampau bagi memastikan segala agenda yang dibawa negara dapat dicapai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

56
Kongsi :
Previous post 300,000 belia tunjang pembangunan Melaka
Next post Aspirasi orang muda diangkat pada Bajet 2025 Negeri Melaka – KM
Ubah saiz-+=