Usul bantah kenyataan Presiden Perancis dibincang dalam kamar khas
KUALA LUMPUR 3 Nov. – Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini mengemukakan usul agar kerajaan mengambil tindakan tegas dan bantahan keras terhadap kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang telah membuat dakwaan berunsur Islamofobia dengan berselindung di bawah kebebasan bersuara.
Beliau turut mencadangkan agar Wisma Putra dan Parlimen mengambil tindakan serta menghantar nota bantahan keras menuntut Macron menarik balik kenyataan itu selain memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan masyarakat dunia.
Menurutnya, usul itu melibatkan kepentingan ramai dan perlu disegerakan kerana tidak mahu perkara itu menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Hal yang demikian, saya menyeru Dewan yang mulia ini mengecam dan mengkritik kenyataan Presiden Perancis itu di samping tidak bersetuju dengan pembunuhan ke atas (seorang guru sekolah menengah) Samuel Paty yang sewajarnya diserahkan kepada proses undang-undang.
“Sesungguhnya, saya percaya bahawa sensitiviti keagamaan seharusnya dihormati di mana kepelbagaian agama seharusnya membawa kepada keharmonian dan perpaduan dan bukannya menimbulkan konflik sesama manusia,” katanya ketika mengemukakan usul itu di Dewan Rakyat hari ini.
Presiden Perancis berkenaan sebelum ini mendapat kecaman pelbagai pihak berikutan kenyataan yang dikeluarkan beliau susulan kejadian bunuh seorang guru yang dikatakan menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW dalam kelasnya semasa mengajar.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun kemudiannya membenarkan usul itu dibahaskan di Kamar Khas Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar ketika menggulung perbahasa usul itu berkata Malaysia secara prinsipnya amat komited untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ekspresi sebagai hak asasi manusia.
Bagaimanapun menurutnya, hak-hak itu perlu dilaksanakan dengan penuh hormat, bertanggungjawab dan tidak melampaui batas-batas agama, dalam konteks ini penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
“Malaysia sebagai negara Islam yang demokratik dan ‘moderate’ akan terus mempromosi dan mengekalkan hubungan yang harmoni dan hidup bersama dalam budaya damai dan hidup secara aman.
“Budaya ini bukan hanya dalam kalangan rakyat Malaysia yang berlainan kepercayaan dan agama, malah dalam konteks masyarakat global yang pelbagai,” katanya.
Sehubungan itu, Kamaruddin menyeru semua pihak agar isu itu dilihat dari sudut yang komprehensif dan mencari punca masalah itu bagi mengelakkan salah faham agama, provokasi, sikap prejudis termasuklah kebencian kepada agama dan penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk menasihati rakyat Malaysia yang berada di luar negara supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap sebarang perkembangan semasa dengan cara mengambil inisiatif untuk mendaftar dan menghubungi Kedutaan Besar dan Konsulat Malaysia di luar negara dari semasa ke semasa,” katanya.
Seramai enam Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik), Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) serta Mahfuz.
TImbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan sesi Kamar Khas itu kemudian menangguhkan mesyuarat itu.
“Ahli Yang Berhormat, masa sudah cukup dalam perbahasan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan yang demikian saya tutup perbahasan ini.
“Ahli Yang Berhormat, mesyuarat Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga jam 11.30 pagi esok Rabu 4 Nov 2020.
— BERNAMA