Ustaz, tiga warden pusat pemulihan dadah direman seminggu berhubung kes bunuh
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata permohonan tempoh reman ke atas keempat-empat lelaki berusia lingkungan 20-an itu, dibuat di Mahkamah Majistret Taiping hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Semalam, polis menahan empat lelaki itu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pada Rabu, polis menerima laporan mengenai kematian lelaki berusia 25 tahun yang beralamat di Shah Alam, Selangor itu daripada doktor bertugas di Hospital Kuala Kangsar yang menerima pesakit tidak menyedarkan diri di dalam sebuah kereta pada kira-kira pukul 8.10 malam.
Pesakit yang dibawa oleh seorang ustaz dan tiga orang warden daripada pusat pemulihan itu kemudian dibawa ke wad kecemasan bagi ujian COVID-19 dan Xray keseluruhan tubuh mangsa kerana terdapat kesan luka di bahagian dahi serta kesan lebam di bahagian muka, mata kiri, dada, kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa.
Sebelum itu, mangsa dilaporkan bercakap seorang diri dan cuba melarikan diri beberapa kali namun berjaya ditangkap selain dikatakan bertindak cuba mencederakan salah seorang warden dengan menggunakan sebilah pisau lalu mengamuk pada tengah hari.
Mangsa berjaya ditangkap dan ditenangkan selepas berlaku pergelutan dengan cara warden beberapa kali menumbuk pada bahagian badan mangsa namun pada pukul 4.45 petang, mangsa cuba melarikan diri sekali lagi dan terjun dari tangga tingkat satu bangunan yang berketinggian kira-kira lapan meter.
Selepas berjaya ditangkap semula, mangsa diikat kaki dan tangan menggunakan kain lalu ditempatkan di dalam bilik tetamu namun mangsa beberapa kali menghentak kepalanya di lantai dan dinding sehingga luka serta berdarah sebelum warden mendapati mangsa tidak menyedarkan diri pada 7.45 malam dan membawanya ke hospital.
Bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar semalam mendapati punca kematian adalah kecederaan parah pada bahagian dada serta otot-otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.