Ustaz Abdul Somad dilantik Profesor Adjung UNIMEL

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LINGGI 7 Julai – Pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Islam Melaka (UNIMEL).

UNIMEL dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun bermula hari ini.

Jelas kenyataan itu, antara peranan Profesor Adjung adalah memberi khidmat nasihat kepakaran akademik seperti memberi syarahan, penyeliaan pelajar dan menambah baik kualiti pembangunan program pengajian.

“Selain itu, Ustaz Abdul Somad juga akan memberi ucaptama ‘keynote’ di dalam seminar dan konferens yang akan diadakan oleh pihak fakulti serta menjadi jurucakap kepada pihak universiti dalam mempromosikan UNIMEL kepada pihak luar termasuk agensi dalam dan luar negara.

“Peranan Profesor Adjung juga adalah menjalinkan kerjasama di dalam penyelidikan berkaitan keilmuan Islam seperti di dalam bidang hadis, dakwah dan isu-isu kontemporari,” kata kenyataan itu.

Penganugerahan watikah pelantikan tersebut telah disampaikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri pada UNIMEL Festival 2024 (UNIMEL Fest’ 24) di Stadium Tariq Ziyad UNIMEL, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah; Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora dan lain-lain kenamaan.

Img 20240707 Wa0011
CERAMAH Ustaz Abdul Somad mewarnai UNIMEL Fest’ 24.

Sejurus selepas majlis pelantikan itu, Ustaz Abdul Somad telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Hijrah Peneraju genarasi Madani’ di hadapan kira-kira 1,500 pelajar dan warga kerja UNIMEL.

Untuk makluman, UNIMEL Fest’ 24 pada 3 hingga 7 Julai menampilkan pelbagai pengisian antaranya persembahan nasyid, pemeriksaan kesihatan, acara larian ‘Night Run’ serta ceramah daripada Ustazah Asma Harun dan Nadir Al Nuri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

920
Kongsi :
Previous post Lebih 500 pemain hangatkan Liga Melaka 2024
Next post ‘MyMelaka News’ sumber informasi terkini peniaga
Ubah saiz-+=