Sorting by

×

USIM lancar buku Teromba, memelihara khazanah sastera N. Sembilan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

NILAI 29 Mac – Sebagai usaha pemeliharaan dan kelestarian seni tradisi teromba, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendokumentasi tradisi itu dalam bentuk buku untuk bacaan serta rujukan bagi generasi akan datang.

Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz yang juga Pro Canselor USIM hari ini berkenan melancarkan buku setebal 680 muka surat bertajuk, Adab dalam Teromba: Unsur Islam Dalam Kesusasteraan Melayu itu ditulis oleh Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin.

Baginda bertitah teromba ialah pengucapan adat, yang disampaikan dalam bentuk puisi, mahupun syair bagi menceritakan tradisi dan adab, khususnya dalam masyarakat di Negeri Sembilan.

TUNKU Ali Redhauddin (tiga dari kanan) tertarik dengan Buku Adab Dalam Teromba : Unsur Islam Dalam Kesusasteraan Melayu hasil penulisan Mohd Rosli (dua dari kanan). Turut bersama Mohamed Ridza (kiri sekali) dan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed (kanan). Foto kredit USIM.

“Ia bertujuan menyampaikan mesej dan saranan yang merangkumi politik, sosial dan ekonomi. Sepertimana kesenian lain, teromba juga tidak dapat lari dari arus pemodenan, dan semakin dilupakan oleh masyarakat.

“Tahniah kepada USIM yang memainkan peranan penting dalam usaha menerbitkan manuskrip teromba ini. Ia mempunyai nilai khazanah bangsa yang tinggi, untuk menjadi rujukan dan panduan kepada masyarakat, serta generasi akan datang,” titah baginda pada majlis pelancaran buku tersebut di Galeri Canselori, USIM di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Tunku Ali juga menzahirkan penghargaan kepada penulis buku itu yang mengumpul dan mengkaji pengucapan teromba orang-orang lama ke bentuk penulisan sejak awal Januari tahun lepas bagi menerangkan konsep, falsafah serta himpunan 13 tema teromba iaitu berkait rapat dengan ajaran Islam.

Teromba antara genre sastera terawal yang wujud iaitu di dalamnya terdapat pantun, mantera, syair, seloka, gurindam, peribahasa, terasul, pepatah-petitih, bidalan, ungkapan, teka-teki dan sebagainya.

Teromba lazimnya menceritakan segala perihal kehidupan masyarakat bermula dari sekecil-kecil perihal rakyat seperti keraian, perkahwinan dan pentadbiran seperti institusi Diraja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1291
Kongsi :
Previous post Wanita hina polis didenda RM5,000, hukuman penjara tiga bulan diketepikan
Next post Bakal jemaah haji diberi keutamaan terima vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=