USIM hantar pulang 400 pelajarnya pulang berhari raya

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

NILAI 7 Mei. – Seramai 3,043 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berada di kampus terbabit Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 yang bermula hari ini hingga 12 Mei 2021 seperti diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani memaklumkan daripada jumlah itu 440 pelajar dihantar menggunakan kenderaan khas universiti yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Katanya, ia membabitkan penggunaan 18 kenderaan universiti iatu bas dan kenderaan pelbagai guna (SUV) untuk menghantar kumpulan pelajar secara berfasa ke zon-zon dikenal pasti di 12 negeri mulai 8 hingga 11 Mei.

“Kumpulan pelajar ini akan bertolak dari Dewan Tuanku Canselor mengikut masa dan hari bertolak yang siap disusun oleh jawatankuasa khas yang kita bentuk bagi memastikan kelancaran operasi ini.
“Pergerakan pertama pelajar akan bermula pada jam 8 pagi esok (Sabtu) ke destinasi pertama iaitu Kelantan dan Terengganu.

“Pergerakan terakhir adalah pada Selasa depan iaitu ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Kumpulan pelajar yang tidak pulang menggunakan kenderaan universiti hanya dibenarkan oleh universiti untuk pulang kenderaan sendiri dan dijemput oleh ibu bapa atau penjaga.

“Pergerakan menggunakan kenderaan awam adalah tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan” ujarnya.

Mohd Rushdan berkata, semua pelajar USIM diwajibkan mendaftarkan maklumat mereka secara atas talian di capaian khas yang disediakan dan turut diberikan Surat Kebenaran Rentas Daerah/Negeri daripada USIM sebagai rujukan kepada pihak berkuasa.

“Pergerakan pelajar ini melibatkan kerjasama padu pelbagai jabatan khususnya Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLMJI) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi memastikan operasi ini mematuhi SOP, berjalan lancar serta semua pelajar tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat,” katanya.

Katanya, 66 pelajar memilih untuk terus tinggal di kampus semasa cuti Aidilfitri dan pihak universiti melalui PRUPEL dan BHEP akan memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa diberi perhatian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

613
Kongsi :
Previous post Polis PD rekod penipuan pinjaman berjumlah lebih RM80,000 bulan lalu
Next post Polis mati tertembak: Tiga rakan direman 14 hari bantu siasatan
Ubah saiz-+=