![Whatsapp Image 2025 02 14 At 2.58.38 Pm (1)](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-14-at-2.58.38-PM-1.jpeg?v=1739523448)
USAHAWAN TITANIUM RICHWORKS CATAT HASIL JUALAN RM2.9 BILION
AYER KEROH 14 Februari – Kesungguhan lebih 200 usahawan Titanium yang dibimbingan RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) membuahkan hasil apabila berjaya mencapai jualan berjumlah RM2.9 bilion pada 2024 atau meningkat sebanyak 13.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Lebih membanggakan, daripada keseluruhan usahawan, 50 daripada mereka berjaya capai jualan antara RM10 juta hingga RM500 juta setahun bagi tempoh 2021 hingga 2024.
Presiden dan Pengasas RichWorks Group, Prof Datuk Wira Dr. Azizan Osman, menyatakan rasa bangga kerana berlaku peningkatan hasil jualan secara konsisten setiap tahun.
Dr. Azizan berkata, kecemerlangan itu adalah hasil bimbingan dan konsultasi secara berkala serta berstruktur bagi memastikan perniagaan usahawan berkenaan mencatat pertumbuhan meskipun dalam suasana persaingan yang semakin kompetitif.
“Usahawan bimbingan RichWorks melibatkan pengusaha pelbagai industri di Malaysia, alhamdulillah kini mereka menjadi pilihan pengguna dan orang ramai.
“Semua ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dimulakan dengan keinginan usahawan itu sendiri, diikuti tindakan berterusan mengikut panduan dan bimbingan diberikan agar mereka menang dalam pasaran,” katanya ketika berucap pada Inner Circle Meeting Melaka-Titan Business Leadership Awards 2025 di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad; Ketua Pegawai Operasi, Suley Nordyana Yahya; Ketua Pegawai Perniagaan, Radz Mohd, Ketua Pegawai Bimbingan dan Pementoran, Hafiz Jasmi; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon dan Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Wira Dr. Radhuana Salleh.
Pada majlis sama seramai 224 penerima anugerah daripada 198 perniagaan mendapat pengiktirafan atas pencapaian mereka mencapat pertumbuhan luar biasa sepanjang 2024.
Bukan itu saja, kelainan pada kali ini pula di mana seramai 173 kakitangan ahli Titanium juga mendapat anugerah atas sumbangan dan komitmen mereka membantu syarikat masing-masing mencapai matlamat yang ditetapkan.
Selain itu Dr. Azizan, turut mengumumkan penubuhan Richworks Consulting Group Sdn Bhd (RCG) sebagai entiti baharu, syarikat perundingan strategik untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpendapatan tinggi di Malaysia.
“RCG akan memfokuskan sokongan kepada perniagaan sudah mencapai jualan lebih RM1 juta setahun dengan penyelesaian lebih komprehensif dan berimpak tinggi untuk PKS di Malaysia malah negara Asean. RCG merupakan hasil evolusi dimulakan daripada RichWorks dalam melatih dan membimbing usahawan di negara sejak 2008 lagi.
“Melalui syarikat ini, kami dapat menyokong PKS pada tahap ‘expansion’ melalui proses transformasi perniagaan dengan mengoptimumkan operasi dan merangka strategi pertumbuhan mampan melalui pasukan perunding berpengalaman.
“Sasaran kami untuk menjadikan RCG sebuah syarikat peneraju perundingan PKS terkemuka di Asean dalam tempoh tiga ke lima tahun akan datang,” jelasnya.
Mengulas lanjut Dr. Azizan berkata, bidang perkhidmatan RCG merangkumi analisis prestasi operasi dan kewangan, pembangunan model perniagaan berimpak tinggi dan kepimpinan di samping berkolaborasi dengan agensi kerajaan serta swasta untuk program transformasi PKS.
“Kami menetapkan pelan lima tahun RCG bagi 2025 hingga 2030 untuk membimbing 500 PKS berjaya mencapai jualan lebih RM10 juta,” ujarnya.
Dalam pada itu, RichWorks juga akan adakan sebuah program khas, Business Success Bootcamp (BSB) yang ditaja 100 peratus pada 19 Februari ini untuk mempersiapkan usahawan-usahawan berdepan sembilan krisis yang dijangka berlaku pada 2025.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.