Sorting by

×

Usahawan tidak berdaftar SSM digalakkan mohon SPIN untuk biaya perniagaan

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 30 April. – Usahawan kecil atau informal yang tidak berdaftar perniagaannya menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan berdepan masalah modal disaran mendapatkan pinjaman Skim Pembiayaan Informal (SPIN) menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermiyati Samsudin berkata, ia berikutan pembiayaan itu mempunyai baki kira-kira RM38 juta perlu diagihkan sejak diperkenalkan tahun lalu.

Katanya, sejak negara dilanda pandemik COVID-19, kerajaan memperkenalkan Geran Khas Prihatin dan geran itu hanya membantu perniagaan usahawan yang berdaftar menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan SSM sahaja.

MAS Ermieyati (tengah) beramah mesra bersama media pada majlis berbuka puasa Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah bersama Media Melaka. Foto: MR. Azli.

“Bagaimanapun bagi sektor usahawan tidak formal ini kita tidak nampak dan sebenarnya jumlah golongan ini agak tinggi, terutama membabitkan sektor perkhidmatan.

“Mereka ini pinjam tidak banyak, sebaliknya hanya guna RM1,000 hingga RM2,000 untuk membeli peralatan atau membaiki kos baik pulih, jadi modal pusingan yang perlu tidak mengambil kos tinggi, sebab itu kita beri pinjaman sehingga RM5,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghdiri Majlis Berbuka Puasa bersama Pengamal Media Melaka di Hotel Ames, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi SPIN ramai usahawan telah membuktikan kebolehan dalam perniagaan dengan mengutip keuntungan lumayan.

“Institut Keusahawan Negara (INSKEN) melatih ramai usahawan dalam tempoh pandemik dan baru-baru ini INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) telah melatih (usahawan informal) selama empat bulan.

“Rekod kami menunjukkan prestasi usahawan ini mencapai lebih daripada empat peratus dan minimumnya 20 peratus, jadi ini adalah cerita kejayaan yang mana menunjukkan mereka bertahan hasil sokongan dan bimbingan INSKEN,” katanya.

Menurut Mas Ermiyati, setakat Januari hingga April ini, sebanyak RM12.9 juta pembiayaan SPIN telah diagihkan kepada 2,154 pemohon.

Katanya, usahawan yang tidak memiliki pendaftaran SSM boleh mengemukakan permohonan di mana-mana pejabat TEKUN Nasional dan permohonan itu mengambil masa dalam tempoh tujuh hari untuk diluluskan.

“Tempoh bayaran balik pembiayaan SPIN adalah tiga tahun dengan kadar keuntungan sebanyak 4 peratus setahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

791
Kongsi :
Previous post ADUN Melor meninggal dunia
Next post Lupakan hasrat curi balik kampung- Polis Perak
Ubah saiz-+=