Sorting by

×

Usahawan SME terima manfaat PENJANA HRDF

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 15 Nov. – 25 usahawan dan pemilik syarikat terpilih telah menyertai latihan meningkatkan keupayaan diri inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi segmen Pembangunan Perusahaan Kecil & Sederhana (SME) menerusi Bengkel Neuro Linguistic Programming (NLP) selama enam hari, baru -baru ini.

Program berimpak tinggi menerusi biaya kerajaan yang disalurkan melalui syarikat penyedia latihan One Mind Consultant itu menawarkan biaya berjumlah RM4,500 setiap seorang untuk dimanfaatkan sepenuhnya usahawan terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Jasmi Bahrim berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu, kerajaan secara proaktif telah memperkenalkan beberapa inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PENJANA yang bertujuan mengurangkan impak COVID-19 dan membangunkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, tumpuan juga diberikan kepada PKS yang terjejas dengan menawarkan bantuan kewangan dan pelbagai bentuk bantuan lain bagi mengekalkan operasi perniagaan mereka di samping mendorong pelaburan domestik dan melindungi pekerjaan.

“Antara langkah-langkah yang telah diperkenalkan termasuklah meningkatkan keupayaan emosi daripada terus berdepan tekanan selain memperhebat keyakinan dengan kaedah baharu sesuai dengan situasi ketika ini.

“Menariknya, kos untuk menyertai latihan seumpama ini ditanggung sepenuhnya Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di bawah inisiatif PENJANA HRDF dalam usaha meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing yang terkesan akibat pandemik global ini,” katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penutup dan penyampaian sijil “Certified Basic NLP Practitioner” kepada pengamal dan pelatih yang mengikuti kursus di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Hadir sama Pegawai Eksekutif HDRF Muhamad Atiq Izzat Mukhtar serta Jurulatih Profesional NLP, Dr. Amir Aris dan Prof. Madya Dr. Angzass Sari Kasim.

PENJANA diumumkan Perdana Menteri pada 9 Jun lepas bertujuan membantu syarikat dan perniagaan pulih daripada kesan pandemik COVID-19 melalui pakej bernilai RM35 bilion termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN Rakyat dan Pakej PRIHATIN PKS dengan tambahan kepada lebih RM290 bilion iaitu sebahagian daripada rancangan pemulihan ekonomi COVlD-19 secara jangka pendek dan sederhana.

Sementara itu, seorang peserta Muhammad Arif Zainuddin mengakui NLP berpotensi membantu usahawan dalam meneroka, mengenal dan melonjak potensi diri agar menjadi pemain industri yang berjaya dan hebat meskipun berdepan dengan cabaran besar akibat COVID-19.

“NLP mengajar bagaimana minda kita berfikir, peka terhadap persekitaran bagi memudahkan para usahawan memahami segala cabaran yang dihadapi namun berupaya mengubahnya menjadi lebih positif, bermotivasi dan cemerlang.

“Melalui teknik NLP juga ia membantu usahawan dalam mengawal tindakan dan perlakuan melalui minda dan psikomotor yang berkomunikasi secara terkawal untuk tindakan dari pelbagai sudut dengan lebih cemerlang.

Seorang lagi perserta Nur Ashikin Halil pula berharap ilmu NLP yang dipelajari mampu menjadi lebih efektif serta cemerlang dalam bidang diinginkan.

Katanya, NLP juga berperanan menukar persepsi usahawan terhadap sesuatu dengan lebih baik dengan menerbitkan sikap positif terhadap situasi dihadapi selain sentiasa positif bahawa masih ada potensi untuk mencapai matlamat yang terperangkap di sebalik masalah dialami.

“Dalam mencapai apa yang saya inginkan, NLP berperanan memberi jalan dengan memperoleh maklumat melalui bagaimana untuk menukar realiti kehidupan sekarang ini kepada apa yang saya impikan.

“Justeru saya melihat NLP dapat melonjakkan potensi saya secara praktikal melalui program yang sistematik dan berstruktur mencontohi model kecemerlangan individu yang telah berjaya,”katanya.

Views:

932
Kongsi :
Previous post Dr. Noor Hisham puji kakitangan Hospital Melaka
Next post 131 individu ditahan berhibur di pusat hiburan
Ubah saiz-+=