Usahawan perlu tampil ‘intai’ peluang ditawarkan kerajaan
AYER KEROH 20 Mac – Kerajaan bersedia membantu usahawan di negeri ini bagi meneroka pelbagai peluang ditawarkan kementerian dan agensi di bawahnya.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, menerusi beberapa agensi terlibat di bawahnya bukan sahaja dipertanggungjawabkan bagi menyediakan pembiayaan buat usahawan, malah pelbagai manfaat lain termasuk program pementoran, bimbingan dan jaringan bagi melengkapkan ekosistem bidang keusahawanan.
Menurutnya, kerjasama semua pihak terutama agensi terbabit dapat membantu golongan usahawan dari peringkat akar umbi iaitu perniagaan mikro sehingga ke peringkat tertinggi menjana pendapatan terutama dalam tempoh pasca penularan pandemik COVID-19.
“Kerjasama ini bukan saja disandarkan pada agensi semata-mata kerana ia tidak akan tercapai, jadi kolaborasi pelbagai pihak termasuk institut pengajian tinggi (IPT), sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu ditingkatkan.
“Saya yakin jika dengan peluang ditawarkan kerajaan ditambah dengan kolaborasi ini, misi untuk membangunkan usahawan berdaya maju boleh dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Seminar Usahawan Muda 2021 bersama GABEM diadakan di Hotel MiTC, di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Sementara itu, Rahim berkata, seminar itu memberi manfaat buat usahawan muda di negeri ini yang dibimbing dalam membangunkan perniagaan.
Katanya, seminar itu akan diperluas ke seluruh negeri terutama Kedah, Selangor dan Johor disebabkan permintaan yang tinggi dalam kalangan usahawan muda.
“Usaha seperti ini memperlihatkan keprihatinan dan tanggungjawab kerajaan bagi menumpukan pembangunan usahawan terutama dalam perniagaan mikro dalam tempoh pemulihan ekonomi negara.
“Ia sekali gus memartabatkan kebangkitan ekonomi Bumiputera supaya mobilisasi kuasa Melayu dapat dikuasai dan perniagaan muslim diperkasa di seluruh negara hingga ke peringkat Asia pada masa depan,” katanya.
Seminar itu dihadiri 230 usahawan muda negeri ini bagi menimba ilmu asas keusahawanan disampaikan beberapa agensi terbabit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.