Sorting by

×

Usahawan muda ambil inisiatif ringankan beban golongan rentan

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

BATU BERENDAM 5 Dis- Meskipun bukan bergelar wakil rakyat, namun usaha seorang usahawan muda wajar dicontohi apabila dia mengambil inisiatif tampil membantu golongan rentan bagi meringankan beban mereka.

Merupakan seorang pengusaha kedai cuci dan menjual barang hiasan kereta, Ashwad Abd Rahim 29, berkata inisiatif itu sudah dijalankan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Ujar Ashwad, pengalaman pernah melalui hidup serba kekurangan mendorongnya menggerakkan usaha untuk pergi dari rumah ke rumah bagi menyalurkan sumbangan berbentuk makanan dan barangan keperluan asas.

“Saya berasa terpanggil untuk memberikan bantuan berikutan kenaikan harga barang yang mendadak dan pandemik COVID-19 yang bagaikan tidak berkesudahan antara sebab golongan tidak berkemampuan semakin terhimpit untuk mengharungi kehidupan mendatang.

“Jadi bantuan yang saya salurkan hari ini, bukan sahaja dari segi makanan asas dan makanan mentah, saya juga dapat menyelami permasalahan masyarakat kita di sekitar Taman Merdeka Jaya hari ini.

“Antara golongan yang saya utamakan dalam kalangan warga emas, pesakit kronik dan mereka yang diberhentikan kerja akibat kesan pandemik Covid-19.

“Dan saya turut tawarkan khidmat untuk membantu golongan tidak berkemampuan membuat permohonan sekali gus mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pejabat zakat,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberikan sumbangan kepada kepada beberapa penduduk yang dikenal pasti berada di bawah paras kemiskinan di sekitar Dewan Undangan Negeri, DUN, Kesidang, Melaka hari ini.

Dalam pada itu, Ashwad berkata sebanyak 150 kotak makanan, beras dan ayam segar diagihkan dan jelasnya aktiviti bantuan itu akan diteruskan selagi harga barang dan kes harian COVID-19 terus meningkat.

Sementara itu, seorang warga emas, Che Meriam Che Coob, 64 tahun, tidak menyangka ada individu yang bukan tergolong daripada wakil rakyat atau pemimpin politik tampil ke rumahnya untuk menyalurkan bantuan.

Dia yang membahasakan dirinya Mak Yam berkata, keadaannya yang uzur dan terpaksa menjaga tiga cucu menyebabkan dia tidak lagi mampu keluar dari rumah untuk mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

“Mak Yam terharu bila ada orang yang bukan wakil rakyat buat kerja macam wakil rakyat.

“Kesulitan Mak Yam nak pergi ke hospital payah, lagi pulak cucu-cucu haritu semua demam, nak beli panadol pun tak cukup duit, pakai ubat lama-lama yang ada,” ujarnya sebak.

Sementara itu, bagi bekas pekerja kilang, Zarith Sofea Mohamad, 19, tahun, menyifatkan dirinya umpama sudah jatuh ditimpa tangga selepas diberhentikan kerja dan ibunya, Zainab Hashim, 54 tahun, pula dijangkiti Covid-19 tahap lima.

ZARITH Sofea (tengah) menunjukkan gambar ketika ibunya hampir ditidurkan akibat COVID-19 tahap lima, bersama ayahnya, Mohamad dan ibunya Zainab.

Zarith Sofea merupakan anak tunggal yang menanggung kedua-dua ibu bapanya iaitu Zainab dan Mohamad Abdul Ghani, 58 tahun.

Dia bersyukur dengan kehadiran usahawan berkenaan membawa sumbangan makanan untuk meringankan beban keluarganya.

“Saya kerja jaga ibu yang sakit teruk disebabkan jangkitan COVID-19, saya diarahkan untuk berhenti kerana terlalu banyak ambil cuti….saya pun anak tunggal dalam keluarga, ayah pun sakit, sayalah yang kena jaga mereka berdua.

“Buat masa ini, tumpuan memang jaga mak ayah, alhamdulillah, rezeki sentiasa ada, kadang ada sahaja sumbangan diterima, hari ini pun dapat lagi sumbangan, syukur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1180
Kongsi :
Previous post Empat jam bersih, alih bahan kimia bocor
Next post Piala AFF: Dua pemain Harimau Malaya positif COVID-19
Ubah saiz-+=