
USAHAWAN MELAKA PERLU MANFAAT PLATFORM DIGITAL
SERI NEGERI 25 April – Usahawan di Negeri Melaka digalak untuk memanfaatkan platform digital selari dengan ledakan perkembangan teknologi terkini.
Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, penggunaan teknologi masa kini amat penting dalam membantu golongan peniaga meluaskan pasaran dan mengembangkan perniagaan mereka.
Pada masa sama, beliau turut berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan platform bersesuaian kepada usahawan untuk membantu mereka berkembang dan seterusnya menembusi pasaran lebih besar.
“Saya berharap Kerajaan Negeri bukan sahaja dapat menyediakan peluang latihan yang besesuaian kepada usahawan tetapi turut membina landasan yang kukuh agar usahawan negeri melaka dapat berkembang, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.
Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshadbarisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.
Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri di atas pelbagai usaha untuk memperkasa pembangunan usahawan tempatan, khususnya dalam kalangan belia, wanita dan juga komuniti desa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.