Usahakan Musang King demi perolehan menguntungkan
AYER LIMAU 21 Julai – Lapan adik-beradik sanggup melabur RM7,000 sebagai modal permulaan bagi mendapatkan 70 benih durian Musang King berkualiti tinggi dengan jangkaan ia bakal membawa perolehan menguntungkan pada masa depan.
Pelaburan itu dimanfaatkan di kawasan seluas 2.4 hektar milik mereka bersama di Kampung Solok Limau Nipis, di sini sejak beberapa bulan lalu.
Dengan memanfaatkan tanah berkenaan, mereka berkongsi pelaburan untuk memastikan benih durian berkenaan mampu membawa pulangan lumayan dalam tempoh antara tiga atau empat tahun akan datang.
Segala pelaburan itu diletakkan di atas bahu pesara kerajaan, Idris Abdul Kadir, 68, iaitu bapa saudara kepada kelapan-lapan adik-beradik terbabit berdasarkan pengalaman luas beliau menanam pelbagai jenis buah-buahan sebelum ini.
Idris berkata, beliau bersyukur diberikan kesihatan yang baik untuk mengusahakan tanah anak saudaranya dengan pelbagai pokok buah-buahan seperti durian Musang King, rambutan, langsat, mangga, durian belanda, nangka dan cempedak.
“Mereka tinggal di Kuala Lumpur dan negeri lain dan hanya pulang ke kampung seminggu sekali atau sebulan sekali untuk melihat tanah mereka saya usahakan untuk dituai hasilnya dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang,” katanya ketika ditemui di kebun berkenaan hari ini.
Bekas Pembantu Perubatan itu berkata, anak saudaranya bersepakat menyerahkan tanggungjawab untuk mengusahakan tanaman berkenaan kepadanya selepas melihat kejayaan beliau menanam pelbagai pokok buah-buahan di sekeliling rumahnya.
Selain durian, Idris turut menikmati rambutan, kelapa matag, mata kucing, limau, nagka dan cempedak di kawasan seluas 0.4 hektar di sekeliling kediamannya di kampung itu, katanya.
Bagi memastikan pokok durian Musang King mampu tumbuh dengan subur, Idris mengupah jentera pengorek untuk menggali lubang sedalam kira-kira 1.21 meter tetapi selepas memasukkan anak pokok setinggi kira-kira satu meter, lubang tidak dikambus sepenuhnya.
Sebaliknya, selepas separuh lubang berkenaan dikambus, Idris memasukkan baja sebelum menutupnya semula dengan tanah hingga ke paras tanah yang asal, katanya.
“Selain membaja sebulan sekali, saya menyembur racun untuk membasmi ulat pada daun dan anai-anai pada akar pokok,” katanya.
Beliau yakin pelaburan berkenaan bakal membawa pulangan lumayan untuk anak saudaranya, bukan setakat untuk pokok durian Musang King, malah rambutan, durian belanda dan seumpamanya.
“Adat berbudi kepada tanah, insyaAllah akan ada pulangannya pada masa depan dengan syarat kita mengamalkan kaedah pertanian yang betul dengan niat untuk menikmati hasilnya buat kita dan anak cucu kita pada masa depan,” katanya.
Bapa kepada lima anak dan datuk kepada 10 cucu itu berkata, selain menikmati hasil titik peluh sendiri, kerja yang dilakukan di tengah panas itu secara langsung memelihara kesihatannya berbanding jika hanya duduk tanpa melakukan sebarang kerja yang mengeluarkan keringat.