Sorting by

×

Usaha kritikal vaksinasi warga emas atasi kematian COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Vaksin COVID-19 dilihat amat diperlukan oleh penghuni dan kakitangan di pusat jagaan warga emas, justeru pemberian vaksin tersebut adalah antara usaha kritikal dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan khususnya bagi mengurangkan kes kematian akibat jangkitan wabak itu, menurut sumber portal Berita Harian sebentar tadi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata ia berikutan hampir 70 peratus daripada jumlah kematian akibat COVID-19 di negara ini, adalah dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Setiap kali berlaku jangkitan COVID-19 di pusat jagaan warga emas atau rumah jagaan kejururawatan, semua kakitangan dan penghuni perlu dikuarantin dan disaring, tetapi rutin jagaan harian masih perlu diteruskan.

“Kita tidak mampu mengambil sikap tunggu dan lihat kerana risiko jangkitan wabak di institusi penjagaan boleh berlaku dengan pantas hingga sukar dibendung, akibat faktor persekitaran tertutup dan kesukaran penjarakan fizikal serta pergerakan pekerja rentas premis penjagaan dan pusat kesihatan lain.

“Jika penularan wabak berlaku, bebanan dipikul pengendali institusi warga emas akan lebih teruk akibat kekurangan sumber, manakala petugas kesihatan dan keselamatan mungkin tidak mampu bertahan jika terus dihujani kes dan kluster baharu.

“Vaksinasi kakitangan dan penghuni kakitangan warga emas adalah satu usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan kita perlu mencapai muafakat dari segi mekanisme pelaksanaan yang paling berkesan dan cekap untuk semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Nasional Pelan Vaksinasi untuk Kakitangan dan Penghuni Pusat Jagaan Berkediaman Warga Emas, yang dianjurkan secara dalam talian, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Siti Anom Ahmad serta Ketua Misi dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Jacqueline Lo Ying-Ru.

Ahmad Amzad memaklumkan, vaksinasi untuk 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas dan Orang Kurang Upaya (OKU) akan dijalankan dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada April hingga Ogos depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

252
Kongsi :
Previous post Dua beradik ‘kantoi’ aktif pecah masuk sekolah
Next post PKPB: Bandaraya Melaka masih lengang
Ubah saiz-+=