Usaha kerjasama di peringkat serantau penting perangi jenayah siber – Hamzah
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Lebih banyak usaha kerjasama dengan pihak berkepentingan di peringkat serantau perlu diadakan untuk memerangi jenayah siber dengan berkesan, demikian cadang Menteri Dalam Negeri Datuk Hamzah Zainudin.
Beliau berkata kerjasama itu bukan hanya memberikan persefahaman yang lebih umum dalam mengendalikan serangan siber yang ditujukan ke rantau ini, tetapi juga akan mengukuhkan hubungan antara negara anggota ASEAN.
“Usaha kerjasama seperti inisitiaf pelbagai pihak berkepentingan, menghimpun wakil daripada institusi keselamatan siber dan agensi keselamatan berkaitan dengan wakil daripada sektor swasta melaksanakan latihan ujian siber di peringkat nasional juga perlu diperluaskan ke peringkat serantau,” katanya.
Hamzah berkata demikian dalam ucap tamanya pada Persidangan Keselamatan Siber bertajuk ‘Working Together Towards The Future of Cyber Security in Southeast Asia’ yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, di sini hari ini.
Persidangan itu diadakan di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Asia 2022 yang diadakan selama empat hari bermula semalam.
Wan Ahmad Dahlan turut mewakili Hamzah melancarkan buku berjudul ‘Jenayah Siber di Malaysia: Impak Leluasa Internet’ yang diterbitkan oleh Institut Keselamatan Awam Malaysia, pada persidangan itu yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Memetik kandungan buku itu, Hamzah berkata ancaman siber dan penipuan dalam talian semakin membimbangkan yang menyumbang kepada hampir 70 peratus kes jenayah komersial yang dilaporkan di negara ini.
“Polis Diraja Malaysia merekodkan laporan kerugian sebanyak RM2.23 bilion dari 2017 hingga Jun 2021. Kerajaan akan terus mencapai kemajuan dalam tadbir urus dan penyelarasan yang menangani keselamatan siber,” tegasnya.
Sementara itu, Acryl Sani ketika ditemui pemberita berharap agar buku yang diterbitkan dalam versi bahasa Melayu itu akan turut disediakan dalam bahasa Inggeris.
“Buku ini boleh digunakan sebagai garis panduan buat pihak berkuasa di negara lain untuk membuat hubungan ‘point-to-point’ kerana penipuan dalam talian bukan hanya berlaku di negara ini,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.