Usaha basmi kemiskinan tegar di KL, Melaka dan Negeri Sembilan capai 100 peratus – PM
Beliau berkata usaha mengeluarkan golongan miskin tegar daripada garisan kemiskinan tidak hanya membabitkan kaum majoriti Melayu sebaliknya merangkumi etnik lain seperti India dan Cina.
“Di Kuala Lumpur, walaupun majoritinya Melayu tetapi nisbah (populasi kaum) India sangat tinggi dan setiap keluarga India di Kuala Lumpur kita bantu untuk lepaskan daripada garis kemiskinan tegar. Ini pendekatan kita tetapi kadang-kadang kita hadapi pemimpin masyarakat (yang) tanya lagi peruntukan orang India.
“Bagi saya, setiap orang (yang) miskin tegar tidak kira (kaum) Cina, Melayu (atau) India, kita selesaikan dan di Kuala Lumpur, Melaka serta Negeri Sembilan daripada angka yang kita peroleh, sudah 100 peratus tercapai,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia di sini hari ini.
Usaha pembasmian kemiskinan tegar adalah antara agenda utama Kerajaan Perpaduan yang membabitkan usaha pelbagai kementerian dan agensi sekali gus memastikan kesejahteraan serta kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua pihak tanpa ada yang tercicir. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.