Usah terpedaya penularan berita palsu – Ketua Menteri

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 23 Jun – Rakyat di negeri ini dinasihati agar tidak terpedaya dengan penularan berita palsu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tegas Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali, masyarakat perlulah bijak dalam memilih maklumat yang tepat, sahih dan diyakini sebelum menyebarkannya, bagi membolehkan negara memenangi ‘peperangan’ menentang pandemik Covid-19.

“Di Melaka, hampir keseluruhan sektor ekonomi telah dibuka dan dibenarkan beroperasi termasuk sektor pelancongan dan perkilangan. Selepas ini, sekolah pula akan dibuka. Justeru, saya amat berharap semua pihak dapat terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pematuhan ini amat penting agar masyarakat khususnya di negeri Melaka dapat memperoleh segala maklumat, polisi dan dasar yang telah diluluskan itu secara tepat, sahih, lengkap dan terkini.

“Ia sekali gus dapat mengelak masyarakat daripada disajikan dengan maklumat dan informasi tidak tepat, palsu, tidak lengkap atau yang sengaja diputarbelitkan untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Penjawat Awam Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2020 menerusi sidang video secara langsung di Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di negeri Melaka yang telah berjaya membendung penularan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, situasi semasa wabak Covid-19 di negeri Melaka telah menunjukkan trend penurunan yang amat positif. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada seluruh petugas frontliners yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membendung penularan Covid-19 di Melaka,” ujarnya.

Views:

575
Kongsi :
Previous post Penjawat awam Melaka perlu jadi ejen perubahan
Next post KPM pinda takwim penggal persekolahan 2020
Ubah saiz-+=