Sorting by

×

UPKK MELAKA 2024 CATAT PENINGKATAN GPN 1.68

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PENGKALAN BATU 20 Mac – Melaka terus cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) apabila Gred Purata Negeri (GPN) meningkat kepada 1.68 berbanding 1.71 pada tahun 2023.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata kejayaan itu hasil dedikasi murid dan guru selain sokongan daripada ibu bapa yang mahu bersama-sama menyuburkan lagi syiar Islam menerusi bidang akademik di negeri ini.

“Lebih membanggakan, Melaka juga berjaya mengekalkan pencapaian peratus lulus 100 peratus selama 14 tahun berturut-turut. Namun, bilangan calon memperoleh keputusan ‘A’ dalam semua mata pelajaran menurun kepada 1,474 orang (18.29 peratus) berbanding 1,700 orang (21.55 peratus) pada tahun 2023.

“Bagaimanapun mengikut Gred Purata Daerah (GPD), daerah Alor Gajah muncul sebagai daerah terbaik dengan GPD 1.62,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Keputusan Peperiksaan UPKK Negeri Melaka Tahun 2024 di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, beberapa sekolah turut mencatat pencapaian cemerlang dalam kategori masing-masing.

“Bagi Kategori Sekolah Gred A ialah Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Jelatang, Alor Gajah, sementara itu Kategori Sekolah Gred B adalah SRA JAIM Kampung Tun Razak 2, manakala Kategori Sekolah Gred C (SRA JAIM Kampung Pulau, Alor Gajah).

“Kategori Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) ialah Sekolah Rendah Integrasi Islam An-Najah,” katanya.

Menurut Rahmad, bagi sekolah dengan pencapaian peratus 9A tertinggi mengikut kategori didahului SRA JAIM Jelatang, Alor Gajah bagi Kategori Gred A.

“Kategori Gred B ialah SRA JAIM Pernu, Kategori Gred C (SRA JAIM Sungai Buloh, Alor Gajah) dan Kategori IPIS & SABK, Sekolah Rendah Integrasi Islam An-Najah.

“Pelajar Terbaik Negeri Melaka pula adalah seramai dua orang iaitu Kategori Lelaki, Muhammad Akmal Ariff Eadiamin (SRA JAIM Tanjung Minyak, Melaka) dan kategori perempuan Nur Syafwatul Badleey Mohd Hairul Shah (SRA JAIM Kampung Tun Razak),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post TARIKH LIHAT ANAK BULAN SYAWAL PADA 30 MAC
Next post GURU BAHASA INGGERIS DITAHAN, BANTU SIASATAN KES PUKUL, TARIK RAMBUT MURID