Sorting by

×

UPDATE: Melaka umum pakej RM175 juta untuk bantu rakyat, ekonomi

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Kerajaan Melaka hari ini mengumumkan pakej ekonomi bernilai hampir RM175 juta bagi membantu rakyat dan peniaga terutama yang paling terkesan dengan pandemik COVID-19 dan PKP 3.0.

Pakej terbaharu ini, yang mengandungi 60 initisiatif, akan memberi manafaat kepada sebahagian besar penduduk Melaka di samping membantu sektor ekonomi dan perniagaan.

Mereka termasuk golongan pelajar, golongan asnaf, penarik beca, nelayan, usahawan kecil dan sederhana, pemandu bas, pengawal keselamatan dan pemandu Grab.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyifatkan pakej ransangan tersebut sebagai satu pakej yang inklusif, komprehensif, mesra rakyat serta “pro-business.”

“Pakej ini akan turut memastikan tiada yang terpinggir, tiada seorang pun tertinggal atas prinsip “no one is left behind,” katanya melalui Facebook Live Kerajaan Negeri dan Pejabat Ketua Menteri.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr. Hashim Hasan dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Zaidi Johari.

Dalam perutusan selama hampir sejam dan setebal 40 muka surat, Sulaiman turut menekankan usaha kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat termasuk meningkatkan pemberian vaksin bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebanyak 38 pusat pemberian vaksin telah dan sedang dibuka di seluruh Melaka, yang mampu menampung 7,800 penerima setiap hari.

“Ini akan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat, yang agar matlamat imuniti 80 peratus atau herd immunity dapat dicapai secepat mungkin,” katanya.

Rata-rata rakyat dan golongan peniaga serta sektor pelancongan menyambut baik pengumuman pakej rangsangan ekonomi.

Pengerusi Projek Perumahan Rakyat  Tehel, Rashidi Bahari berkata, inisiatif kerajaan negeri memberi pengurangan 10 peratus bil air kepada penyewa dan 50 peratus sewa bulanan amat membantu penduduk dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar ketika ini.

“Bantuan seperti ini amat diharap-harapkan oleh kami, komuniti penduduk yang hampir kesemuanya dari golongan berpendapatan rendah.

“Melalui insentif bantuan ini, dapatlah penduduk memfokuskan kepada keperluan hidup yang lain dan tidak lagi terbeban membayar bil air yang tinggi atau bayaran bulanan rumah,” katanya.

Selain daripada potongan gaji dan elaun Ketua Menteri dan Exco-Exco Kerajaan Negeri, Sulaiman juga mengumumkan para penjawat awam negeri Gred 29 ke atas akan menyumbang sebanyak RM78,000 kepada Akaun Amanah Bencana melalui potongan elaun mereka bagi tiga bulan.

Sulaiman berkata 33 daripada sejumlah 60 inisiatif yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM155.85 juta adalah untuk kebajikan dan kepentingan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

“Ia melibatkan inisiatif tunai dan bukan tunai antaranya Bantuan Ma’niah Al A’Mal yang melibatkan bantuan one-off sebanyak RM350 kepada 6,000 penerima golongan B40 dan golongan rentan yang bergaji harian,” katanya.

Pakej ransangan adalah gabungan kepada keseluruhan inisiatif, bantuan demi bantuan yang sebenarnya telah dimulakan kerajaan beberapa minggu lalu, melalui inisiatif yang diumumkan oleh agensi-agensi Kerajaan Melaka.

“Jika Pakej Ransangan ini dicampur dengan Pakej Bantuan Fasa 1 pada tahun lalu sebanyak RM21.45 juta, menjadikan nilai keseluruhan Pakej Bantuan Kerajaan Melaka kepada rakyat negeri ini jumlahnya mencecah RM195.98 juta,” katanya.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

514
Kongsi :
Previous post Calon SPM, STPM 2021 akan divaksin bermula Julai- Khairy
Next post Penduduk pangsapuri, PPR hargai keprihatinan kerajaan negeri
Ubah saiz-+=