Sorting by

×

Unit Paramedik Berbasikal pertama negara ada di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 19 Jun – Melaka menjadi negeri pertama menempatkan sukarelawan Paramedik Komuniti secara bergerak (berbasikal) di kawasan tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir, termasuk di kawasan Zon Bebas Kenderaan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman memaklumkan, sukarelawan Unit Paramedik Berbasikal itu akan bertugas pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 4 petang hingga 1 pagi bagi memberikan pertolongan awal sekiranya berlaku kecemasan atau kemalangan.

Katanya, setiap Paramedik Berbasikal akan dilengkapi dengan peralatan perubatan asas dan mesin Automated External Defibrilator (AED) yang membolehkan bantuan awal segera diberikan.

“Pasukan Paramedik Komuniti ini adalah inisiatif MBMB dengan kerjasama St John Ambulans Malaysia bagi merealisasikan saranan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Pasukan Paramedik Berbasikal ini membuat rondaan dan pemantauan di beberapa ‘checkpoint’ setiap 10 hingga 15 minit dan pemantauan adalah secara bergilir dan taklimat diberikan St John Melaka kepada petugas sebelum memulakan kayuhan.

“Inisiatif ini merupakan kemudahan paramedik pertama di Malaysia yang menyediakan stesen pertolongan cemas dan unit paramedik berbasikal sekiranya berlaku kecemasan atau kemalangan di kawasan tumpuan pelancong,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Shadan, selain memberikan bantuan awal kecemasan, Paramedik Komuniti berkenaan turut melaksanakan program pendidikan kesihatan di Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir.

“Antara program yang diberikan ialah latihan CPR, pemeriksaan kesihatan dan penerangan tentang gaya hidup sihat yang diberikan secara percuma kepada orang ramai.

“Malah, program ini juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang awam serta pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Tambah Shadan, inisiatif berkenaan turut menarik minat St John Ambulance Singapura dan Indonesia untuk mewujudkan aktiviti yang sama dan menjadikan Paramedik Komuniti Zon Bebas Kenderaan Melaka sebagai sumber rujukan utama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

338
Kongsi :
Previous post Cabaran kitar semula antara sekolah tawar hadiah lebih RM30,000
Next post Jual RON95 kepada kenderaan asing, pengusaha stesen minyak di Masjid Tanah dikenakan tindakan
Ubah saiz-+=