Sorting by

×

UNIMEL tawar kos pengajian rahmah

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 12 Januari – Universiti Melaka yang dijenamakan semula sebagai Universiti Islam Melaka (UNIMEL) bermula 1 Januari lalu bakal menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang menawarkan kos pengajian rahmah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengenalan kos pengajian rahmah itu bermaksud memperkenalkan yuran berpatutan mengikut kadar kemampuan pelajar dari keluarga B40 dari seluruh negara.

Kata beliau lagi, UNIMEL juga bakal menjadi institusi pengajian pertama yang menawarkan penginapan percuma selama setahun kepada pelajar.

“Walaupun yurannya rendah tetapi tetap tidak menjejaskan kualiti pembelajaran dan pelajar boleh bergraduat. Di UNIMEL, kita mahu semua orang boleh bergraduat dan menjadi terpelajar. ‘Everybody can be graduated and educated’.

“Melaka menjadi negeri pertama yang menawarkan kos pengajian sedemikian. Manakala, pelajar anak Melaka di UNIMEL akan diberi keutamaan untuk kemudahan pembiayaan pendidikan melalui Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 YAB Ketua Menteri Melaka yang bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran,Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; barisan Timbalan Exco; ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta persekutuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1363
Kongsi :
Previous post Melaka negeri sifar miskin tegar
Next post Ambil semangat slogan ‘Bijak Laksana Tuah’, ‘Berani Laksana Jebat’
Ubah saiz-+=