UNIMEL tambah Pusat Kecemerlangan Falak
TANJUNG BIDARA 15 Ogos – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) akan membuka satu lagi Pusat Kecemerlangan Falak menerusi Fakulti Kelimuan Islam yang ditempatkan di Kompleks Falak Al-Khawarizmi.
Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata penubuhan pusat kecemerlangan itu bagi memacu bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan ilmu falak khususnya di Melaka.
“Pusat kecemerlangan ini mendapat kerjasama pintar rakan strategik khususnya kompleks falak dalam pembangunan penyelidikan berkaitan ilmu falak.
“Dengan adanya pusat ini, ia secara tidak langsung menawarkan program pengajian peringkat pasca siswazah secara penyelidikan dalam Bidang Astronomi Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Penutup Kursus Asas Falak Syarie UNIMEL yang dirasmikan Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil di Dewan Hamal Kompleks Falak Al-Khawarizmi di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Taib yakin kerjasama erat antara Fakulti Keilmuan Islam UNIMEL dan Jabatan Mufti Negeri Melaka, kursus ini akan dapat disebar luaskan kepada seluruh masyarakat.
“Kursus ini perlu menjadi satu contoh di peringkat nasional untuk dijadikan panduan dan ikutan, ilmu-ilmu asas yang diperolehi sepanjang kursus ini perlu ditambah dan digali dengan lebih mendalam lagi.
“Insya-Allah selepas ini, Fakulti Keilmuan Islam UNIMEL pula akan menawarkan kursus falak ini kepada masyarakat kerana ia telah disenaraikan dalam kursus-kursus pendek di bawah perancangan fakulti,” katanya.
Kursus tersebut diadakan selama dua hari dengan slot seperti pengenalan ilmu syariah dan falak dalam Islam, sejarah dan jenis takwim, cerapan langit malam dan penerokaan angkasa dan semakan dan penentuan arah kiblat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.