UNIMEL PERKASA PENGAJIAN PERUNDANGAN DAN KEJURURAWATAN
KUALA LINGGI 13 September – Seramai 59 pembentang terdiri daripada ahli akademik tempatan dan antarabangsa terlibat dalam sesi pembentangan kertas kerja membabitkan bidang perundangan dan kejururawatan berlangsung di Universiti Islam Melaka (UNIMEL).
Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata, pembentangan itu adalah sebahagian daripada pengisian 2nd International Conference On Syariah and Law (ICSAL 2024) dan Nursing and Healthcare International Conference (NHIC 2024) berlangsung di Auditorium Ibn Khaldun, UNIMEL, di sini, semalam.
Katanya, fokus diberikan kepada dua bidang pengajian itu yang dilihat berpotensi dalam membina kepakaran dan modal insan pada masa akan datang.
“Pembentangan kertas kerja membabitkan 38 ahli akademik tempatan dan 21 lagi wakil antarabangsa, secara keseluruhan seramai 110 orang peserta terlibat dengan 16 kertas sisipan dikumpulkan. Semua kertas sisipan ini akan diterbitkan dalam ‘Journal Of Engineering and Health Sciences’ dan ‘Journal of Law and Governance’.
“Menjadi hasrat UNIMEL untuk memperkasa dua bidang pengajian ini ke peringkat global, sekali gus mengembangkan lagi potensi Kuala Linggi sebagai hab pendidikan dan menjadi katalis kepada ekonomi tempatan,” katanya yang ditemui pada program berkenaan.
Perasmian program itu disempurnakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurutnya, penganjuran program akademik bertaraf antarabangsa seumpama itu juga mampu membantu penyelidik UNIMEL mempertingkatkan kerjaya dan profesionalisme masing-masing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.