UNIMEL pemangkin pembangunan Melaka

Masa Membaca:4 Minit, 1 Saat

KUALA LINGGI 4 Disember – Sesuai dengan perkembangan semasa, peranan Universiti Melaka (UNIMEL) bukan lagi sekadar melahirkan graduan cemerlang akademik dan tenaga kerja mahir.

Sebaliknya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bertaraf universiti penuh milik Kerajaan Negeri itu mahu kewujudannya menjadi katalis dalam pembangunan ekonomi setempat sesuai dengan perancangan untuk menjadikan utara Melaka sebagai kawasan perindustrian dan pusat teknologi masa depan.

Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata, Istiadat Konvokesyen UNIMEL ke-25 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, merangkap Canselor UNIMEL, menjadi titik tolak ke arah meningkatkan dan membangunkan institusi pengajian itu berlandaskan perspektif baharu yang akan menarik lebih ramai pelajar menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu bagi menyahut saranan YAB Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, beliau berkata, UNIMEL kini sedang merangka beberapa kursus berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bercirikan Islam yang juga identiti universiti itu.

Jelas beliau, antara yang dilihat berpotensi untuk diteroka adalah kursus penyembelihan halal, kursus falak syarie dan mutawif untuk jemaah haji atau umrah yang sebenarnya mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran.

“Contoh Brazil dan Taiwan antara negara bukan Islam yang menawarkan banyak produk halal, jika diteroka kita boleh eksport kepakaran dimiliki UNIMEL ke dua negara berkenaan. Menggunakan kepakaran dan peralatan dimiliki, UNIMEL juga boleh menawarkan perkhidmatan penyembelihan kepada industri bagi menjana pendapatan.

“Perkara ini kita sedang rangka dan akan dilaksanakan menerusi beberapa fakulti. Kursus sedia ada yang berteraskan TVET seperti kejururawatan, pendidikan awal kanak-kanak dan kulinari akan diperkasakan lagi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada wawancara khas sempena Istiadat Konvokesyen ke-25 UNIMEL.

3
Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora

Prof. Dr. Mohd Taib memberitahu, turut dirangka untuk diteroka adalah Kursus Berkuda; Bina Insan (Kejurulatihan); Perubatan Islam; Pengurusan Tahfiz; Pengurusan Pejabat dan Pengajar Tahfiz.

Menyentuh aspek sejarah beliau berkata, UNIMEL yang akan berusia 30 tahun pada tahun hadapan bermula dengan penubuhan Kolej Islam Melaka di bawah Enakmen Kolej Islam Melaka pada 4 dan 5 Mei 1994, seterusnya dinaik taraf kepada Kolej Teknologi Islam Melaka (KTIM) pada 2001 dan kemudian Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM) pada 2005.

“KTIAM kemudian dinaik taraf kepada Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) pada Julai 2009. KUIM dinaik taraf sebagai universiti penuh pada 8 April 2021 dan penubuhan UNIMEL diluluskan pada 10 Februari 2022,” katanya.

Katanya, untuk terus maju dan setara dengan universiti lain, UNIMEL memberikan penekanan kepada prinsip 5P iaitu Pengajaran dan Pembelajaran, Penyelidikan, Perundingan, Penerbitan dan Perkhidmatan Komuniti bagi mencapai taraf SETARA 5 serta MyRA5 menjadi penanda aras ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Bagi elemen perkhidmatan komuniti ini Kita juga akan menubuhkan Yayasan Canselor UNIMEL bagi mengumpul dana daripada terimaan zakat, sumbangan daripada agensi, korporat dan aktiviti penjanaan pendapatan bagi membiayai pembangunan fizikal kampus termasuk membina sebuah dewan baharu, selain penawaran biasiswa.

“Dalam perancangan untuk berkembang, kita juga akan menambah baik silibus agar berteraskan kehendak semasa industri dan negara seperti program ICT selain memberikan penekanan kepada digitalisasi. Harapan saya kemahiran digital akan menjadi satu kekuatan dan kelebihan bagi graduan UNIMEL selepas ini,” katanya.

Sementara itu kata beliau, bagi mempelbagaikan lagi aspek penyelidikan, UNIMEL juga akan menubuhkan Institut Kajian Hang Tuah (IKAT) yang akan turut menjalankan fungsi sebagai pusat pengumpulan manuskrip berkenaan sejarah Laksamana Hang Tuah dan ketamadunan Melayu.

“Sebagai sebuah institut, IKAT juga akan menawarkan kursus peringkat sarjana (master) dan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sejarah, warisan, budaya serta bahasa kepada pelajar tempatan atau antarabangsa,” katanya.

Jelas beliau, sejak ditubuhkan UNIMEL sudah melahirkan seramai 20,000 graduan dalam pelbagai bidang dengan tahap kebolehpasaran semasa mencapai 80 peratus meskipun dunia kini berdepan ketidaktentuan ekonomi.

“Istiadat konvokesyen kali ini yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) membabitkan penganugerahan kepada 861 graduan iaitu seramai 727 peringkat diploma, ijazah sarjana muda (130) dan empat peringkat sarjana. Mengikut pecahan jantina pula 654 dalah perempuan dan 207 lagi lelaki.

“Sebagai penghargaan UNIMEL juga akan menyampaikan Anugerah Terbaik Keseluruhan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda serta Anugerah Terbaik Fakulti juga bagi peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

Ketika ini UNIMEL mempunyai enam fakulti, iaitu Fakulti Bahasa dan Pendidikan, Fakulti Perniagaan Hospitaliti dan Teknologi, Fakulti Keilmuan Islam, Fakulti Sains Sosial, Fakulti Undang-Undang, Governan dan Hubungan Antarabangsa serta Fakulti Kejururawatan dan Sains Kesihatan.

UNIMEL juga mempunyai Institut Pengurusan Haji dan Umrah, Institut Pengajian Sizwazah serta sebuah Pusat Asasi dan Pengajian Umum.

Secara keseluruhan UNIMEL menawarkan 56 program pengajian iaitu asasi (3); diploma (20); ijazah sarjana muda (17); ijazah sarjana (11) dan PhD (5) mernagkumi pelbagai disiplin yang mendapat perakuan akreditasi KPT serta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Selain itu UNIMEL membuka peluang bagi hafiz dan hafizah mendapat pengiktirafan akademik menerusi Program Tahfiz Bestari iaitu program ‘fast track’ untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2048
Kongsi :
Previous post Tiga gudang simpan logam tembaga, wayar di Bukit Selambau terbakar
Next post Lebih 7,000 pengunjung banjiri Karnival D’Bendang
Ubah saiz-+=