UNIMEL JADI PUSAT KECEMERLANGAN KURSUS UNDANG-UNDANG, KEJURURAWATAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 11 September – Selain dikenali sebagai universiti sains sosial dan keilmuan Islam, Universiti Islam Melaka (UNIMEL) komited untuk menjadi pusat kecemerlangan bagi bidang pengajian undang-undang dan kejururawatan.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abullah berkata, apabila terlaksana kelak ia akan menjadikan UNIMEL sebagai sebuah institusi akademik tumpuan di negara ini dan antarabangsa.

Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi berkata, perancangan itu juga sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebagai sebuah hab pendidikan pelbagai bidang pada masa akan datang.

“UNIMEL juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi akademik luar negara dalam usaha membangunkan universiti ini sebagai pusat penyelidikan dan cendekiawan.

“Insya-Allah apa yang sedang diusahakan ini akan menjadi katalis dan pemangkin kepada pemerkasaan ekonomi setempat dengan hasilnya dinikmati penduduk. Semua ini juga adalah sebahagian daripada persediaan untuk menyokong pelbagai pembangunan mega sekitar DUN Kuala Linggi nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan 2nd International Conference On Syariah and Law (ICSAL 2024) dan Nursing and Healthcare International Conference (NHIC 2024) di Auditorium Ibn Khaldun, UNIMEL, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora serta tetamu lain.

Menurutnya, hasil pembentangan kertas kerja pada seminar yang dianjurkan mampu memartabatkan lagi bidang pengajian undang-undang dan kejururawatan di UNIMEL.

“Semua ini bertepatan atau kena pada masanya kerana kita mahu memperkasa undang-undang syariah dan sivil agar seiring dengan perkembangan global yang menjadi kebimbangan orang ramai. Undang-undang adalah tunjang utama kepada kestabilan sosial dan kemakmuran sesebuah negara.

“Syabas juga diucapkan kepada UNIMEL yang memartabatkan profesion kejururawatan yang amat penting dalam memastikan kesejahteraan kesihatan. Kerjaya ini harus dihormati dan dipandang tinggi kerana ketika ini jururawat berdepan cabaran kesihatan yang semakin kompleks,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

112
Kongsi :
Previous post KARNIVAL USAHAWAN MERIAHKAN FESTIVAL LAYANG-LAYANG
Next post PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA DI FASA AKHIR PERSIAPAN, TIADA JALAN DITUTUP
Ubah saiz-+=