Sorting by

×

Uniknya batik Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

TABOH NANING 2 Disember – Ramai yang masih tidak mengetahui Melaka merupakan antara negeri yang mempunyai identiti batik dengan keunikan motif dan coraknya tersendiri.

Meskipun batik sinonim dikaitkan dengan negeri di Pantai Timur sebenarnya warisan seni itu telah lama bertapak di Melaka dan diwarisi oleh pemain industri sebagai tunjang utama agar ia tidak luput ditelan zaman.

Pengusaha batik Melaka, Bakhtiar Aman berkata, elemen motif yang dicorakkan dalam industri pembuatan batik di Melaka tidak sama seperti negeri lain.

Jelasnya, batik Melaka lebih menekankan simbol perpaduan dan kepelbagaian kaum, di mana ia berkait rapat dengan kebudayaan setempat, sejarah peradaban bangsa yang datang ke Melaka dan sebagainya.

Dia yang berkecimpung dengan industri itu sejak lima tahun lalu berkata, antara seni yang dizahirkan dalam batik Melaka ialah corak bunga kesidang.

“Selain bunga kesidang, motif bumbung Melaka, tangga rumah tradisional Melaka dan roda kereta lembu merupakan antara motif yang digunakan sebagai identiti dalam pembuatan batik di negeri ini.

“Kebanyakannya berkait rapat dengan sejarah di Melaka dengan kepelbagaian bangsa yang datang berhijrah ke sini suatu ketika dahulu seperti kebudayaan Cina dan India diolahkan dalam motif yang ada pada batik Melaka.

“Berbanding negeri lain seperti Pantai Timur, ia lebih bermotifkan unsur awan larat yang menyentuh aspek kebudayaan kehidupan masyarakat di tepi laut, manakala batik di Borneo pula banyak menunjukkan elemen-elemen kepelbagaian etnik yang ada di kepulauan itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Dia yang merupakan Pengurus Legasi Sutera Emas berkata, bagi memastikan warisan itu tetap segar di negeri ini, langkah memartabatkan batik adalah satu tanggungjawab besar buatnya dengan sokongan daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka.

Img 20231202 Wa0021
ANTARA produk batik dengan identiti Melaka yang dihasilkan pasangan suami isteri itu.

Menurutnya, satu pembudayaan baharu dengan sentuhan permintaan pasaran mengikut revolusi arus zaman perlu diperhebatkan dalam industri itu agar pasaran batik boleh diperluaskan ke seluruh negara.

“Ramai yang sering mengaitkan batik sebagai pakaian untuk orang berpencen, penjawat awam dan pakaian ke kenduri kahwin, tetapi batik ini satu warisan yang universal di mana ia sesuai di semua peringkat umur dari kecil hingga dewasa.

“Sebagai pengusaha batik langkah memperluaskan dan mengolah batik mengikut kehendak pasaran perlu dilaksanakan agar penggunaan batik ini sesuai di semua peringkat umur.

“Lebih-lebih lagi, sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang akan tiba tidak lama lagi perlu ada langkah awal dengan mewujudkan pelbagai platform dengan pemain industri ini kerana ia mempunyai satu daya tarikan baharu pelancongan yang ada di Melaka.

“Batik Melaka sebenarnya setanding dengan negeri negeri lain, jadi ini satu peluang yang baik untuk kita ketengahkan sebagai produk pelancongan di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10928
Kongsi :
Previous post ‘Kaki tipu’ kena cekup
Next post Sambutan TMM2024 ditunggu ramai
Ubah saiz-+=