Sorting by

×

Undi awal bakal saksikan SOP ketat menanti pemilih esok

Masa Membaca:2 Minit, 53 Saat

MELAKA 15 Nov – Esok merupakan antara hari penting bagi proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila 11,557 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di 31 Pusat Pengundian Awal (PPA).

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah pengundi awal terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

PPA membabitkan 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuka pukul 8 pagi dan akan ditutup 2 petang melibatkan 21 PPA dan 10 PPA lagi akan ditutup pukul 5.30 petang.

Antara lokasi pusat pengundian ialah di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah serta Sekolah Kebangsaan Kem Terendak I dan II.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di sebelah pagi di satu dua tempat di Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah manakala Jasin hujan di satu dua tempat di sebelah pagi dan ribut petir di sebelah petang.

Terdapat empat slot waktu kehadiran untuk mengundi dan pengundi boleh menyemaknya di aplikasi mySPR Semak atau Portal Semakan Daftar pemilih SPR.

Waktu yang ditetapkan adalah 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang.

Proses pengundian awal akan menyaksikan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mematuhi Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara kerana situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan di pusat-pusat pengundian tersebut selain perlu mengimbas kod respon pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke PPA.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan oleh SPR pengundi perlu menggunakan pensanitasi tangan di tiga stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran dan di hadapan Kerani Pengundian.

Pengundi yang bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas akan diasingkan serta-merta daripada pengundi yang lain dan mengundi di tempat khas (khemah khas untuk memangkah).

Seterusnya dakwat ditandakan di jari telunjuk kiri pengundi menggunakan berus yang dipakai buang bagi setiap pengundi bergejala.

Pengundi kemudiannya wajib memakai pelitup muka berganda dan sarung tangan getah pakai buang sebelum memegang kertas undi dan ke petak mengundi di dalam khemah khas untuk memangkah undi.

Petugas yang terlibat mengendalikan individu bergejala hendaklah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan serta memakai pakaian perlidungan diri (PPE) lengkap dengan penutup hidung dan mulut, apron, pelindung muka dan sarung tangan sepanjang mengendalikan individu berkenaan.

Petugas perlu membuat sanitasi tangan sekerap mungkin (sambil memakai sarung tangan) setiap kali berurusan pengundi bergejala.

Pembersihan dan sanitasi petak mengundi perlu dilakukan setiap kali pengundi yang bergejala selesai menanda kertas undi masing-masing.

Pengundi berkenaan akan diiuruskan dengan bantuan pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut selepas selesai mengundi.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding dan SPR akan menyiarkan proses pengundian itu secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR.

Sementara menunggu proses pengiraan pada 20 Nov ini, kertas undi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis.

Dengan selesainya proses pengundian awal nanti, tumpuan akan tertumpu pada hari pengundian yang dijadualkan pada 20 Nov ini.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov (esok) berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

748
Kongsi :
Previous post “Tidak pandai kata manis, tapi janji khidmat bakti sepenuh hati – Fairul
Next post 2,322 pegawai dan anggota PDRM undi awal di 24 lokasi esok
Ubah saiz-+=