Sorting by

×

Undi 18 beri kelebihan kepada PN dalam PRU15 – Mohd Rafiq

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 4 April. – Pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dijangka memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, kerajaan di bawah pimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengiktiraf peranan golongan muda dan tidak pernah mengabaikan keperluan golongan itu.

Beliau yang juga Pengerusi Bersatu Melaka berkata, perkara itu terbukti menerusi pelbagai pakej serta bantuan disediakan kerajaan bagi membantu golongan berkenaan termasuk bagi menghadapi pandemik COVID-19.

“Sekiranya hak kelayakan undi 18 ini direalisasikan ia akan memberi kelebihan kepada PN kerana segala pakej atau bantuan ini juga secara tidak langsung yang diumumkan perdana menteri tidak mengetepikan generasi muda.

“Saya yakin majoriti pengundi berusia 18 tahun ini sudah matang dan boleh berfikir, jadi kita tidak akan berpatah balik untuk memberikan mereka membuat keputusan memilih kerajaan mana yang wajar atau parti mana yang wajar mentadbir negara atau negeri,” katanya selepas merasmikan pejabat baru Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya di Kota Fesyen MITC di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Beliau dipetik berkata, Bersatu mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post Syarikat langgar SOP antara 22 dikenakan kompaun
Next post Neelofa, suami berdepan tindakan kompaun jika terbukti langgar SOP
Ubah saiz-+=