UMNO Tangga Batu usul PRU-15 dipercepatkan
KLEBANG 18 Dis – UMNO Tangga Batu, hari ini, sebulat suara mengusulkan agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dipercepatkan.
Ketua Bahagiannya Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, hal itu bagi membolehkan sebuah kerajaan yang kuat dan diterima rakyat dapat segera dibentuk.
Selain itu, katanya Perwakilan Tangga Batu turut mengusulkan agar pemilihan parti diadakan mengikut jadual ditetapkan iaitu sebelum Dis 2022.
“Pemilihan parti tidak wajar diadakan lebih awal kerana ia (dikhuatiri) boleh menyebabkan berlakunya perpecahan di peringkat UMNO Bahagian itu sendiri.
“Kebiasaannya selepas pemilihan ia akan mengambil masa sehingga lima bulan untuk merapatkan semula perbezaan antara ahli, jadi kita risau jika pemilihan diadakan lebih awal, tiba-tiba PRU-15 akan diadakan.
“Itu akan menyebabkan berlaku perpecahan dan sebab itulah seramai 531 perwakilan yang hadir pada hari ini bersetuju dengan usul itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu, di Baitul Tariq, di sini, malam ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO Tangga Batu juga akan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Namun, pada masa sama, katanya, sebagai ahli parti, beliau dan perwakilan akan mengikut apa jua kehendak parti selepas ini demi kebaikan menjayakan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.