UMNO perlu sesuaikan dengan landskap politik baharu – Shahril Suffian
Ketua Penerangan UMNO Shahril Suffian Hamdan berkata kehadiran parti politik baharu seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak boleh dipandang ringan sebaliknya UMNO perlu mencari strategi yang sesuai bagi memastikan ia terus kekal relevan dalam kalangan generasi muda.
“Memang kita mengiktiraf dan mengambil serius, tidak boleh pandang enteng dengan parti lain kerana ada tarikan daripada mereka termasuk MUDA… UMNO kena sesuaikan dengan landskap baharu ini.
“Ada pihak beranggapan parti baharu tiada akar umbi dan tiada ahli pusat tetapi dalam politik baharu ini, parti yang tiada ahli ramai pun atau tiada rangkaian hebat pun mempunyai kelompok undi yang kita tak boleh pandang ringan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika sesi santai bersama pengamal media yang akan bertugas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditanya mengenai strategi UMNO dalam berdepan saingan terutama parti baharu termasuk MUDA pada PRN Johor.
Pada 29 Jan lepas, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilapor mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding pada PRN Johor.
Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pemilih berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18 sekali gus menjadi cabaran kepada parti yang bertanding.
Mengulas persiapan Penerangan UMNO pusat dalam mendepani PRN Johor, Shahril Suffian berkata pihaknya akan melihat garis panduan berkempen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Macam di Melaka, kita sudah pelajari sesuatu dan untuk PRN kali ini, situasinya sedikit berbeza. Sudah tentu kita akan fokuskan kepada penerangan mengenai isu semasa dan bagaimana memenangi semula pengundi atas pagar.
“Kita juga akan tunggu prosedur operasi standard oleh Kementerian Kesihatan… di Melaka agak ketat, cuma kalau boleh memang kita mahu ada kelonggaran (berkempen) untuk (PRN) kali ini di Johor,” katanya.
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Feb ini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.