UMNO Melaka siap sedia hadapi PRU-15
MASJID TANAH 15 Mac – UMNO Melaka dilihat cukup bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka akan diadakan bila-bila masa.
Itu pemerhatian disimpulkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan melalui lawatan kerja yang diadakan Villa D’Acqua Homestay Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Beliau berkata, menerusi perjumpaan dengan setiap Ketua Bahagian Negeri, pihaknya berpuas hati dengan segala persiapan dijalankan, namun percaya masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Perunding dan Persiapan Pilihanraya (War Room), Melaka adalah negeri pertama yang dikunjungi untuk melihat sejauh mana kesiapsiagaan negeri-negeri.
“Ia dilakukan sebagai persiapan menghadapi PRU-15, sebab kita tak tahu bila. Bila-bila masa sahaja ia boleh diadakan.
“Alhamdulillah nampaknya persiapan Melaka cukup bagus tetapi nampaknya ada beberapa kawasan (bahagian) yang perlu diperbaiki lagi,” katanya kepada pemberita selepas tamat pertemuan bersama semua jentera parti negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas ini pihaknya akan menjelajah ke Negeri Sembilan, Johor dan seterusnya negeri-negeri lain untuk melihat persiapan di setiap negeri.
Terdahulu, beliau bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Melaka kira-kira jam 2.45 petang tadi.
Perjumpaan secara tertutup itu turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan beberapa EXCO Kerajaan Negeri berserta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili Barisan Nasional (BN).
Perjumpaan selama lebih empat jam itu berakhir kira-kira jam 7.30 malam tadi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.