UMNO Masjid Tanah sedia gerak kerja dekati 16,000 pengundi baharu

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Dis – UMNO Masjid Tanah akan memulakan gerak kerja bagi mendekati 16,000 pengundi baharu dalam kalangan anak muda di kawasan itu, kata Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, pihaknya akan membuka ruang dan peluang yang luas bersama generasi muda untuk bersama-sama UMNO dan Barisan Nasional (BN) meneruskan warisan perjuangan parti keramat itu.

Jelasnya, antara usaha yang akan dilakukan ialah menumpukan kepada aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada minat anak muda di kawasan berkenaan.

“Kita akan mengadakan pelbagai program sukan dan riadah bersama anak muda bagi memastikan mereka terus seiringan bersama kepimpinan kerajaan negeri demi memastikan kebajikan dan minat mereka terpelihara.

“Program yang sedang dirangka itu akan kita bentangkan tahun depan supaya anak-anak muda ini dapat mengisi kerangka yang sedang kita atuirkan supaya memenuhi citarasa mereka dan sesuai dengan arus semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’Acqua, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian Masjid Tanah dan ADUN-ADUN Masjid Tanah.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, peranan anak muda masa kini sangat penting selari dengan hasrat meremajakan parti itu.

Katanya, UMNO telah membuktikan perjuangan meremajakan parti telah dilakukan pada PIlihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini yang menyaksikan empat tokoh anak muda telah diberi mandat dan dua daripadanya dilantik menjadi EXCO Kerajaan Negeri.

“Ia memberi gambaran apa yang kita lakukan adalah untuk memastikan anak muda dapat mewarisi perjuangan kita pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1081
Kongsi :
Previous post UMNO Masjid Tanah sebulat suara lulus usul tangguh pemilihan parti selepas PRU-15
Next post UMNO Jasin lulus usul sokong PM hingga 2023
Ubah saiz-+=