UMNO Masjid Tanah sebulat suara lulus usul tangguh pemilihan parti selepas PRU-15

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Dis – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah, hari ini, meluluskan usul pemilihan di peringkat parti ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usul itu diluluskan sebulat suara oleh kesemua 422 perwakilan yang hadir.

Menurut beliau, usul penangguhan itu akan diserahkan kepada ibu pejabat untuk diperhalusi dan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), bulan depan.

“Selain itu, dalam mesyuarat kali ini Wanita UMNO (Masjid Tanah) turut memohon 30 peratus peranan wanita dalam tadbir urus negeri yang mana kita sedang melihat dan mengkaji permohonan itu.

“Selain itu, dari sudut politik pula, kita akan membuat persediaan menghadapi PRU-15 yang mana kajian kini sedang dibuat tentang prestasi parti sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

“Walaupun kecemerlangan kita terserlah dengan kemenangan 21 kerusi, tetapi perincian dan kajian mengenai (kecenderungan) pengundi dan pandemik COVID-19 juga harus di ambil kira dalam memastikan kecemerlangan Barisan Nasional pada PRU-15 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’Acqua, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian Masjid Tanah dan ADUN-ADUN Masjid Tanah.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata UMNO Masjid Tanah tidak membawa usul menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada mesyuarat perwakilan kali ini.

Bagaimanapun, secara prinsip beliau bersama seluruh perwakilan akan terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri yang diberi kepercayaan oleh parti untuk mentadbir negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1149
Kongsi :
Previous post Bayaran Fasa 3 Bantuan Khas COVID RM1.2 bilion, Isnin ini – PM Ismail Sabri
Next post UMNO Masjid Tanah sedia gerak kerja dekati 16,000 pengundi baharu
Ubah saiz-+=