UMNO: Kesepakatan pemimpin legakan perwakilan, MT
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kesepakatan dalam kalangan “Top Five” UMNO melegakan kira-kira 2,600 perwakilan dan penyokong parti sejurus Perhimpunan Agung UMNO 2021 melabuhkan tirainya hari ini, sekali gus membolehkan mereka membawa pulang khabar gembira kepada akar umbi.
“Top Five” merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Rata-rata pemimpin parti yang ditemui merumuskan perhimpunan tahunan parti kali ini memperlihatkan kesepaduan dan kebersamaan ahli di semua peringkat untuk membawa parti mencapai matlamat memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jelas kelihatan semangat perwakilan dari 191 Bahagian UMNO yang memberi sokongan padu kepada terhadap Ahmad Zahid dan Ismail Sabri.
Selain dua pemimpin utama yang menjadi tumpuan itu, barisan kepimpinan lain iaitu Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua lagi Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Sayap Wanita Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Sayap Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Sayap Puteri Datuk Zahida Zarik Khan, serta ahli Majlis Tertinggi (MT) turut seiring dan senada.
Ahli MT Datuk Zahidi Zainul Abidin melahirkan rasa puas hati dengan keseiringan yang ditunjukkan Ahmad Zahid dan Ismail Sabri selepas mendengar ucapan penangguhan kedua-dua kepimpinan tertinggi itu.
“Presiden dan Perdana Menteri senada. Begitu juga dengan perwakilan. Semua isu senada dan kami semua berpuas hati… kami tidak mahu ‘Top Five’ berpecah, MT berpecah,” katanya kepada pemberita selepas selesai perhimpunan hari ini.
Senada dengannya, seorang lagi ahli MT Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) berkata keistimewaan UMNO ialah pemimpinnya berpegang kepada prinsip perjuangan untuk kesejahteraan rakyat meskipun kadang-kala berbeza pendapat dan pendirian.
Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Sik Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata parti perlu terus memfokuskan kepada generasi muda yang menjadi ejen perubahan pada PRU15 kelak.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata penubuhan sebuah sekolah politik bagi membina generasi baharu adalah tepat dan dilihat menjadi antara strategi menghadapi realiti baharu.
“Sebuah ucapan pendamaian yang baik dalam menyatukan pemikiran dan tindakan semua pimpinan dan ahli UMNO ke arah menghadapi cabaran masa depan. Ini penting kerana UMNO perlu dominan dan relevan,” katanya.
Asyraf Wajdi berkongsi perasaan lega dan gembira seusai perhimpunan yang menyaksikan kesepakatan pucuk pimpinan sehingga ke akar umbi yang dilihat penting sebagai asas kestabilan parti, yang mempunyai 3.39 juta ahli.
Mengenai pengumuman peningkatan gaji minimum, beliau berkata itu adalah antara perjuangan UMNO yang tidak berpenghujung bagi membantu rakyat, khususnya pada masa ini yang terkesan dengan pandemik COVID-19, bencana alam dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
“Banyak pengumuman penting tadi yang semuanya berpaksi kepada rakyat. UMNO ini datang daripada rakyat, UMNO ini perlu menyantuni kehendak rakyat,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.