UMNO harap kerajaan pertimbang pengeluaran KWSP RM10,000
MELAKA 5 Jan – UMNO hari ini menyuarakan harapan agar kerajaan mempertimbangkan permintaan rakyat agar dibenarkan pengeluaran kali terakhir caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off sebanyak RM10,000.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berikutan rakyat benar-benar berhadapan dengan kesempitan hidup akibat pendemik COVID-19 ditambah dengan terkesan musibah banjir.
Katanya, ia juga sejajar dengan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 27 Ogos tahun lalu.
“UMNO turut menyarankan agar sidang khas Dewan Rakyat mengenai bencana banjir diadakan bagi membolehkan wakil-wakil rakyat mengutarakan pandangan dan resah rakyat serta melontarkan cadangan-cadangan untuk membantu kerajaan mencari jalan terbaik menghadapi bencana yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Zahid menambah, UMNO turut merakamkan penghargaan di aras segala bantuan untuk mangsa banjir sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang boleh mencecah sehingga RM61,000 untuk satu keluarga.
“Diharapkan maklumat mengenai kaedah perlaksanaan dan penyalurannya dapat segera dimaklumkan kepada rakyat dan dikurangkan sebarang karenah birokrasi agar prosesnya dipercepatkan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid mewakili UMNO turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga 48 mangsa banjir yang terkorban sejak bencana berkenaan melanda beberapa buah negeri bermula pada pertengahan Dis lalu.
Menurutnya, dengan angka korban yang begitu tinggi berbanding banjir besar yang pernah melanda negara pada tahun 1971 (30 orang) dan 2014 (21 orang), ia tentunya memerlukan Kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan segera saranan titah Yang di-Pertuan Agong agar dilakukan Post-Mortem Bencana Banjir.
“UMNO berasa dukacita kerana koordinasi agensi-agensi berkaitan yang sepatutnya aktif digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seolah-olah tidak bermaya dan amat lemah sekali dalam menghadapi musibah banjir pada kali ini.
“Sedangkan NADMA mempunyai garis panduan penyelarasan musibah banjir yang komprehensif sejak dibangunkan pada 2014,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.