Sorting by

×

UMNO enggan terburu-buru putus kerjasama politik- Ahmad

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TELOK MAS 15 Okt. – UMNO menegaskan tidak akan terburu-buru dalam memutuskan sebarang bentuk kerjasama politik selagi tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka belum diputuskan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, menerusi dua mesyuarat yang diadakan semalam, pihaknya terlebih dahulu mahu mengumpul maklum balas daripada jentera parti pelbagai peringkat berhubung pelbagai perkara berbangkit.

Ia termasuklah kerjasama politik dengan parti-parti lain serta persiapan menghadapi PRN Melaka yang kini hanya menunggu tarikh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Oleh kerana kita baru sahaja mendapat maklumbalas (pelbagai pihak) dan tak tahu bila PRN, jadi kita tidak boleh mendahului SPR yang akan menetapkan tarikh.

“Jadi, pandangan kita (kerjasama politik) itu belum lagi perlu diputuskan dan tidak mendesak untuk membuat keputusan malam tadi juga.

“Tetapi apabila SPR mengumumkan pada Isnin mengenai tarikh PRN, maka selepas itu tentunya kita akan buat keputusan tertentu yang penting terutama dari segi siapa kita nak bersama dan bentuk persefahaman politik.

“Insya-Allah tarikhnya akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

PUSAT Khidmat Masyarakat BN DUN Telok Mas N.23 di Kampung Ketapang, Telok Mas, Melaka. Foto: MR. Azli.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke Telok Mas, hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Mustafa Musa dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Ahmad Maslan berkata, Telok Mas di bawah Parlimen Kota Melaka merupakan lokasi ketiga dikunjunginya selepas Masjid Tanah dan Tangga Batu.

Katanya, lawatan kerja itu akan diteruskan ke Hang Tuah Jaya dan Alor Gajah pada Ahad ini selain Presiden UMNO juga dijangka akan turun ke Melaka pada Selasa dan Khamis depan untuk melihat persiapan jentera parti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: UMNO sasar menang semua kerusi ditandingi
Next post Jangan serkap jarang isu pasir Melaka: Ahmad
Ubah saiz-+=