Sorting by

×

UMNO Bahagian mula bersidang hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Perwakilan UMNO Bahagian mula bersidang hari ini sehingga Ahad di seluruh negara melibatkan 191 bahagian.

Persidangan yang disifatkan sebagai medan terbaik mempersiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu, bertujuan merancang strategi terbaik, menyuarakan saranan konstruktif dan kritikan bagi mengukuhkan gerakan parti secara keseluruhan.

Beberapa pemimpin tertinggi parti itu menzahirkan ucapan selamat bersidang menerusi media sosial rasmi masing-masing kepada seluruh anggota yang terlibat.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sayap parti perlu merapatkan saf selain mengetepikan titik ‘bengik’ (remeh) sesama sendiri dan meletakkan perjuangan parti mengatasi kepentingan diri.

“Dengan misi mencapai Kestabilan dan Kemakmuran (tema manifesto BN PRU15), mari kita susun sebaik mungkin gerak kerja jentera parti bagi merealisasikan hasrat rakyat yang sekian lama menderita dengan polemik politik yang turut menggoncang kemakmuran ekonomi,” katanya dalam hantarannya di Facebook.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata persidangan perwakilan itu perlu dijadikan sebagai salah satu usaha untuk memperkemas jentera pilihan raya bagi menghadapi PRU15.

Beliau berkata oleh itu, ucapan pimpinan wajar mengulas tema manifesto Barisan Nasional (BN) selain meniupkan semangat perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan negara.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menasihati akar umbi supaya menyokong siapapun wakil parti dan BN yang dicalonkan pada PRU15.

“Paling penting, tingkatkan iltizam dan semangat untuk bantu parti… tidak ada individu yang lebih besar dari parti,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4173
Kongsi :
Previous post Polis mohon bantuan kesan Akilashini, Ain Roshariza
Next post Sukarelawan UTeM bantu pulihara Pulau Bidong, Terengganu
Ubah saiz-+=