UMNO akan terus bantu pentadbiran PM
KUALA LUMPUR 28 Ogos – UMNO akan terus membantu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan.
Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, parti itu akan membantu Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik COVID-19 dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato’ Onn, di sini, yang dipengerusikannya malam tadi.
“UMNO mendokong penuh pelantikan (Perdana Menteri) dan parti akan membantu Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO bagi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan.
“Beberapa panduan utama telah dibincangkan dan dipersetujui bersama YAB Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO,” katanya dalam kenyataan itu.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, beliau turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana berkenan melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera ke jawatan itu.
Menerusi beberapa panduan utama itu katanya, kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik COVID-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus.
“Kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambahbaikan
pakej-pakej bantuan rakyat (BPN, BPR dan BKC).
“Bantuan moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik,” katanya.
Tambahnya, UMNO juga harus menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan termasuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti.
“Selain campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan lain-lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.