Sorting by

×

Umat Islam di Melaka dibenar solat Aidilfitri tapi dilarang rentas kariah

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MASJID TANAH 11 Mei. – Umat Islam di negeri ini dibenar menunaikan solat sunat Aidilfitri di semua masjid dan surau mengikut kapasiti bangunan pada 1 Syawal yang bakal disambut Khamis ini.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, perkara diputuskan dalam mesyuarat bersama Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini.

Katanya, jemaah bagaimanapun tidak dibenarkan merentas ke kariah lain sekiranya kapasiti masjid atau surau di lokasi penempatan jemaah itu sudah penuh.

ABDUL Halim mencuba peralatan pada Program Pencerapan Anak Bulan Syawal di Kompleks Falak Al Khawarizmi Tanjung Bidara, dekat sini hari ini.

“(Perkara itu) dinasihatkan untuk masyarakat Islam yang duduk di kawasan setempat sahaja dan kita menasihatkan tidak ada yang curi-curi dari kampung sebelah pergi ke kampung sebelah (untuk menunaikan solat Aidilftiri).

“Ini adalah khusus kepada masyarakat setempat di kariah berkenaan atau pun komuniti di kawasan surau terbabit,” katanya pada Program Pencerapan Anak Bulan Syawal di Kompleks Falak Al Khawarizmi Tanjung Bidara, dekat sini hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula esok hingga 7 Jun depan bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat.

“Tiada ruang tambahan termasuk khemah dibenarkan untuk menampung jemaah dan setiap jemaah diwajibkan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Warga asing turut tidak dibenarkan untuk menunaikan solat sunat itu di surau atau masjid di penempatan mereka.

“Turut tertakluk, sebarang jamuan makan di surau atau masjid hanya dibenarkan dibungkus untuk dibawa pulang sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut mengehadkan takbir Aidilfitri di surau dan masjid sehingga jam 10.30 malam pada malam terakhir Ramadan.

Jelasnya, pihaknya turut tidak membenarkan sebarang aktiviti takbir dari rumah ke rumah sepanjang tempoh PKP itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

947
Kongsi :
Previous post Pengunjung wajib imbas dan tunjuk QR Code sebelum masuk kompleks beli-belah
Next post PKP 3.0 tidak seketat PKP 1.0 kerana enggan rakyat susah
Ubah saiz-+=