Sorting by

×

Ular tedung sorok dalam tempayan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 22 Sept. Hanya 10 minit diperlukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor untuk mengesan dan menangkap ular tedung selar jantan di Kampung Parit Melana Ulu Seraja,
dekat sini.

Dalam kejadian jam kira-kira jam 3.50 petang itu, ular tedung jantan seberat enam kilogram berkenaan ditemui bersembunyi di dalam tempayan lama di garaj di hadapan rumah pengadu, Mohd Hazhar Mohd Hasnan, 44.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam Daerah (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.59 petang.

ULAR tedung selar jantan yang ditangkap anggota APM Alor Gajah.

Menurutnya, sepasukan tiga anggota diketuai Koperal (PA) Osman Mat Din kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menangkap haiwan berbisa itu.

Beliau berkata, sejurus tiba pada jam 4.37 petang, pihaknya terus melakukan pencarian di kawasan terakhir ular itu dikesan.

“Beberapa minit mencari, pegawai dan anggota APM akhir mengesan ular itu berlingkar di dalam tempayan. Operasi selesai jam lima petang.

“Kita percaya ular itu berkemungkinan datang dari kawasan hutan di belakang rumah,” katanya dihubungi di sini.

Foto ihsan APM Alor Gajah.

Sementara itu Mohd Hazhar berkata, dia yang bekerja di kawasan kampung bergegas pulang sebaik dihubungi anaknya.

“Anak saya sangka bunyi bising dari reban ayam angkara monyet.

“Selama ini memang monyet yang mencuri telur ayam saya.

“Tapi, apabila anak saya keluar memeriksa… dia terkejut melihat ular tedung itu berdekatan reban menegakkan kepala dan terus menelefon saya,” katanya.

Katanya, sebaik tiba di rumah dia masih dapat melihat dan mengawasi ular itu sebelum ia menyelinap ke dalam garaj.

“Jika ular kecil saya berani juga tangkap, tapi melihat saiz ular tedung yang berbisa itu, saya terus menghubungi APM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1569
Kongsi :
Previous post Negeri Sembilan beralih ke Fasa 4 PPN, Pahang 3, Johor 2 Jumaat ini – PM
Next post Bekas ASP direman kes terima rasuah bulanan
Ubah saiz-+=