Sorting by

×

Ular masuk sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

ALOR GAJAH 15 Feb – Dua ekor ular rusuk kerbau sepanjang satu meter setengah menceroboh masuk ke dapur kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Datok Naning, pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada murid berada dalam kelas pada waktu kejadian dan ular itu berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah.

Menurut Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam Alor Gajah (PDPA), Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom, kes di sekolah berkenaan merupakan satu daripada tiga aduan yang diterima dalam tempoh dua hari.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima dua aduan ular memasuki kenderaan yang diparkir di tempat terbuka Kampung Pekan Alor Gajah dan Taman Kelemek.

Menurut Abdul Hadi dalam kejadian di Kampung Pekan Alor Gajah, pihaknya menerima aduan seekor ular tedung memasuki bahagian enjin kereta Proton Persona pada jam 3 petang.

ULAR tedung selar bersembunyi di bahagian enjin sebuah kenderaan. Kredit foto: APM Alor Gajah

Menurutnya, ular tersebut dikatakan mahu memasuki sebuah rumah di kampung itu namun setelah dihalau, reptilia tersebut menjalar memasuki bonet hadapan kereta berkenaan yang diparkir di tepi rumah itu.

“Anggota APM tiba di lokasi jam 3.36 petang namun berdepan kesukaran berikutan ular tedung itu menyorok di bahagian enjin yang sempit.

“Oleh sebab itu pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular tedung sepanjang satu meter lebih itu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menerima panggilan daripada seorang pemandu treler yang menemui ular sawa menjalar di hadapan cermin kenderaannya pada jam 3 pagi.

ULAR sawa menjalar di cermin hadapan sebuah treler. Kredit foto: APM Alor Gajah

Menurutnya, seramai empat anggota bergegas ke lokasi dan berjaya menangkap ular berkenaan.

Beliau berkata, peningkatan kes berkaitan penangkapan ular sejak akhir-akhir ini dipercayai berikutan cuaca panas yang menyebabkan spesies reptilia itu mencari tempat yang lebih sejuk untuk berlindung.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar peka dengan keadaan sekeliling dan segera menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan jika mengesyaki terdapatnya kehadiran reptilia berbahaya di premis mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2055
Kongsi :
Previous post Senarai Ahli Majlis MPJ
Next post Usah panik, bekalan kit pantas RTK cukup
Ubah saiz-+=