Sorting by

×

Ular 250kg, 100kg berlingkar dalam lubang tapak pembinaan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

MARANG, 9 Dis – Penemuan dua ekor ular sawa batik, masing-masing seberat 250 kilogram (kg) dan lebih 100kg, mengejutkan beberapa pekerja di sebuah tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka di sini, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marang Leftenan (PA) Mujahid Abdul Wahab berkata ular sawa pertama seberat 250kg dan sepanjang kira-kira 5.8 meter itu ditemukan pada 2 petang, manakala ular kedua seberat lebih 100kg dan sepanjang 4.2 meter ditemukan pada 3.20 petang.

Katanya kedua-dua ular tersebut ditemukan berlingkar di dalam lubang oleh pekerja pembinaan ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja penggalian tanah.

“Sejurus menerima panggilan pertama pada 2 petang, tiga anggota APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dikerahkan ke lokasi bagi menangkap ular tersebut dan haiwan itu berjaya ditangkap dalam masa 25 minit.

“Pada 3.23 petang, APM sekali lagi menerima panggilan berhubung penemuan seekor lagi ular sawa, juga di lokasi sama. Tiga anggota yang sama mengambil masa selama 14 minit untuk menangkap haiwan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mujahid berkata berikutan berat dan saiz ular tersebut, pihaknya dengan bantuan orang awam terpaksa mengangkat haiwan itu menggunakan jentolak.

“Kedua-dua reptilia itu akan diserahkan kepada Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman dalam masa terdekat,” katanya yang tidak menolak kemungkinan penemuan kedua-dua ular sawa tersebut adalah disebabkan habitatnya diganggu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1379
Kongsi :
Previous post Kematian individu tidak divaksin 20 kali ganda lebih tinggi – Noor Hisham
Next post Skuter elektrik tempatan dilancar, Malaysia ke arah neutral karbon menjelang 2050
Ubah saiz-+=