Ulang tahun ke-55, Bernama perlu lebih kreatif dalam laporan berita – Zahidi

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu mengimbangi pelaporan beritanya agar lebih kreatif, seiring dengan kehendak dan selera pembaca tanpa lari daripada matlamat asalnya yang tertera dalam Akta Bernama 1967, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Berbekalkan pasukan editorial terdiri daripada wartawan berkaliber, jurufoto hebat, serta editor dan penyunting berpengalaman, beliau melahirkan keyakinan Bernama mampu menghasilkan berita-berita seumpama itu yang sekali gus menjadikan agensi berita berkenaan sebagai peneraju berita terulung.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Bernama atas sambutan ulang tahun ke-55 hari ini.

“Semoga seluruh warga Bernama sentiasa komited dalam kerjaya dan bekerja keras dalam menjadikan Bernama lebih disegani dan dihormati pelbagai peringkat,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-55 Bernama yang diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Wisma Bernama, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus, pegawai-pegawai kanan Bernama, kakitangan serta pesara-pesara pertubuhan berita itu.

Sambutan ulang tahun itu diserikan dengan acara memotong kek dan pulut kuning yang diadakan di pekarangan Wisma Bernama.

Dalam aspek pendigitalan, Zahidi berharap Bernama menginovasikan pendekatan yang digunakan dalam menyampaikan maklumat melalui setiap platform perkhidmatannya, seiring evolusi kewartawanan yang berubah ke arah digital ketika ini.

Menurutnya kandungan berita perlulah dipelbagaikan, misalnya menerusi penghasilan video menerusi aplikasi TikTok, yang kini mendapat perhatian pelbagai peringkat umum.

Zahidi berkata Bernama dilihat menjadi semakin inklusif dalam dunia kewartawanan serta disegani dan dihormati menerusi pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, antaranya Perkhidmatan Editorial, Digital Media, Bernama.com, Bernama Images, Bernama Radio, Bernama Newslink dan Bernama Tv.

Bukan hanya liputan berkaitan dasar-dasar kerajaan, beliau berkata Bernama juga telah berjaya menyediakan liputan berita yang lebih menyeluruh kepada khalayak serta pelanggannya meliputi isu politik, ekonomi, jenayah dan bencana.

“Malah Bernama sentiasa berusaha mencari jalan untuk mewujudkan kerjasama dan melaksanakan perkhidmatan pertukaran berita dengan agensi-agensi seumpamanya dari seluruh dunia, dan menyampaikan pendirian Malaysia tentang isu-isu kepentingan bersama kepada dunia luar melalui kerjasama dengan rakan-rakan media di serata dunia sejak 55 tahun lepas,” katanya.

Di sebalik pelbagai kejayaan yang diraih, beliau turut menaruh harapan tinggi agar Bernama lebih berdaya saing dan menjadikannya jenama berita yang unggul dan terkemuka di peringkat, global bagi membolehkan kelangsungannya diteruskan.

Dalam ucapannya, Zahidi mengucapkan tahniah kepada Bernama atas penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 pada 29 Mei ini dalam mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media negara.

Bernama ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 6 April 1967 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 1967 sempena ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara, dan agensi berita itu mula beroperasi pada 20 Mei 1968.

Ketika memulakan operasinya, bangunan pertama Bernama adalah di rumah banglo empat bilik beralamat di No. 222, Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur dengan hanya 20 petugas. Kini ia memiliki bangunan sendiri setinggi 15 tingkat dengan lebih 1,000 petugas.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1206
Kongsi :
Previous post Malakat Mall: Jangan jadi gajah putih lagi! – Sulaiman
Next post Tokoh UMNO Melaka Datuk Wira Noordin Yaani meninggal dunia
Ubah saiz-+=