Sorting by

×

Ukraine: Kumpulan terakhir rakyat Malaysia dijadual berlepas pulang esok

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

PUTRAJAYA, 27 Feb – Kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang berjaya keluar dari Ukraine dijadualkan berlepas pulang ke tanah air dari Warsaw, Poland esok (Isnin) melalui penerbangan komersil.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan hari ini selepas misi pemindahan melibatkan tujuh warganegara dan dua warga asing tanggungan kepada dua warga Malaysia itu berjaya dilaksanakan Kedutaan Malaysia di Kyiv yang turut membantu seorang warga Singapura.

Kumpulan berkenaan, diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud yang dibantu oleh Setiausaha Kedua Aminuddin Osman, bergerak dari Kyiv melalui jalan darat sejak petang Jumaat dan tiba di Poland pada 5.45 pagi Ahad (10.45 malam Sabtu waktu tempatan).

Menjawab tuduhan sesetengah pihak berhubung pelaksanaan misi itu, Wisma Putra menjelaskan, maklumat sensitif seperti pelan pemindahan tidak didedahkan kepada umum sebelum ini demi menjaga keselamatan semua pihak terlibat.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaksanaan misi berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya seperti kedutaan-kedutaan Malaysia yang lain, kedutaan di Kyiv, mempunyai pelan pemindahan yang sedia diaktifkan sekiranya perlu dan sentiasa dikemas kini berdasarkan situasi di lapangan dan keperluan semasa, termasuk opsyen terbaik bagi pelaksanaannya.

“Keputusan pelaksanaan misi pemindahan dibuat berdasarkan laporan mutakhir daripada kedutaan Malaysia yang berkenaan,” katanya.

Tambahnya, kementerian sentiasa memantau perkembangan di Ukraine dan berhubung rapat dengan Kedutaan Malaysia di Kyiv sehingga ke peringkat komunikasi terus oleh Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dengan kuasa usaha sementara kedutaan itu.

“Perkembangan-perkembangan penting turut diangkat untuk makluman dan perhatian Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain itu, Wisma Putra berkata kerajaan juga membincangkan pelan pemindahan dari Ukraine dan pelaksanaannya secara terperinci semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Feb lepas.

“Menteri Luar telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai perkembangan di Ukraine, terutamanya status keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara itu,” katanya.

Mengambil kira keadaan yang meruncing di lapangan dan bagi menjamin keselamatan serta kebajikan warga Malaysia, Perdana Menteri membuat keputusan pada 24 Feb supaya pelan pemindahan berkenaan diaktifkan serta-merta.

Wisma Putra menegaskan dakwaan-dakwaan seperti pegawai kedutaan melarikan diri, ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) pemindahan dan sebagainya seperti yang dilaporkan sesetengah pihak media dan media sosial adalah tidak berasas sama sekali.

Mengenai penggunaan empat buah kereta dalam misi berkenaan, termasuk dua kenderaan kedutaan, katanya keputusan itu mengambil kira bilangan individu yang terlibat dan bagi memudahkan pergerakan serta menjaga keselamatan sepanjang perjalanan.

Menurutnya kerajaan sebelum ini telah melaksanakan pelbagai misi pemindahan dari negara asing, sama ada yang berdepan konflik atau bencana alam, antaranya repatriasi rakyat Malaysia dari 99 buah negara semasa pandemik COVID-19.

“Misi-misi seumpama ini dilaksanakan oleh perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia dengan penyelarasan dan kerjasama Kementerian Luar serta kementerian/agensi berkaitan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata operasi Kedutaan Malaysia di Kyiv terpaksa digantung sementara ekoran dua pegawai kedutaan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan misi pemindahan itu.

Katanya setakat ini, hanya beberapa kedutaan asing sahaja yang menggantung operasi di Kyiv atau memindahkan operasi mereka ke bandar lain di Ukraine.

Wisma Putra turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan misi pemindahan itu, terutamanya kepada Fadhilah dan Aminuddin serta pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di Warsaw.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.

Susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara. Ukraine turut mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, kerana ‘berisiko tinggi’ kepada penerbangan awam.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1001
Kongsi :
Previous post Jumlah PPS, mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat petang ini
Next post Doakan ‘Abang Viva’ selamat sampai Terengganu
Ubah saiz-+=