UKM TD 2023 pamer kredibiliti TDM
SUNGAI UDANG 30 Julai – Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKM TD) adalah kejohanan memiliki kelas tersendiri yang menjadi medan mencari jaguh bagi mewakili Tentera Darat Malaysia (TDM) ke pertandingan peringkat antarabangsa.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, jaguh menembak akan mewakili TDM ke pertandingan peringkat Asean dan jemputan dari negara sahabat seperti Australia.
Katanya, secara tidak langsung, UKM TD mempamerkan kredibiliti TDM yang sentiasa bersiap sedia dan komited dalam menggalas tugas utama iaitu bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Mengulas lanjut, Mohammad berkata, menembak dan mengendalikan pelbagai jenis senjata adalah asas dalam TDM, berikutan itu setiap pegawai serta anggota perlu menguasainya.
“UKM TD ini adalah pendekatan dalam meningkatkan kemahiran menembak seseorang anggota terlatih mengendalikan sekurang-kurangnya senjata persendirian secara efektif dalam persekitaran pertempuran penuh dengan tekanan, ketakutan, kelesuan dan bahaya.
“Melalui UKM TD secara tahunan ini, TDM akan dapat menilai kemampuan dan tahap kemahiran anggota tentera secara berkala,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup UKM TD Tahun 2023 di Lapang Sasar 400 Meter, Kem Terendak, di sini, hari ini.
Hadir sama ke majlis itu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku
Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi; Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zaidan Atan dan
Panglima 10 Briged (Para), Mejar Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal.
Cabaran itu membabitkan 715 pegawai dan anggota daripada Formasi Pemerintahan serta Divisyen dibahagikan kepada dua kategori iaitu wajib selain acara sampingan.
Acara wajib membabitkan Raifal Lelaki, Pistol Lelaki, Senjata Bantuan, Lorong Hutan dan Serangan Seksyen.
Sementara itu acara sampingan pula Raifal dan Pistol Wanita, Pegawai Kanan dan Pegawai Muda, Sniper serta Jatuh Piring.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.