UK tarik arahan pakai pelitup muka, Dr Akmal seru rakyat segera ambil dos penggalak
MELAKA 28 Jan – EXCO Kesihatan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh menyeru seluruh rakyat khususnya di Melaka agar segera mengambil vaksinasi dos penggalak (booster).
Katanya, pengambilan dos penggalak itu berupaya membantu negara memasuki fasa baharu dan kembali kepada kehidupan biasa yang dirindui semua.
Mengambil contoh apa yang berlaku di United Kingdom (UK), Muhamad Akmal berkata, disebabkan hampir 81 peratus rakyatnya telah mengambil dos penggalak dan keberkesanan dos itu menyebabkan pelbagai larangan telah ditarik semula.
Jelasnya, antara larangan yang ditarik semula bermula semalam (27 Jan) ialah tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam terbuka dan tetutup, selain tidak perlu lagi mendaftar masuk ke mana-mana premis.
Selain itu, katanya, tiada lagi sekatan perjakanan dan sesiapa sahaja boleh memasuki negara itu dengan syarat perlu melakukan ujian kendiri pada hari kedua.
“Jadi jangan lambatkan untuk suntikan booster anda. Lagi lama anda lambatkan, lagi lama kita akan masuk ke fasa endemik.
“Besar harapan saya dan seluruh rakyat Malaysia khususnya di Melaka untuk kita sama-sama kembali kepada kehidupan seperti sebelum pandemik.
“Kita berusaha dan berdoa, Allah SWT menentukan segalanya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Menurut Muhamad Akmal, setakat 27 Jan, kadar vaksinasi dos penggalak di Melaka adalah pada tahap 43.7 peratus.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.