
UJIAN SARINGAN KANSER KOLOREKTAL
Oleh: Datuk Dr. Shankar Gunarasa
Pakar Bedah Kolorektal dan Umum, Robotik dan Laparoskopi
Pantai Hospital Ayer Keroh Melaka
SETIAP tahun, Mac adalah bulan untuk ‘Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal’ di seluruh dunia. Sempena bulan tersebut, saya ingin memberi sedikit gambaran tentang masalah Kanser Kolorektal di Malaysia and apakah ujian saringan yang sedia ada untuk kanser kolorektal.
STATUS KANSER KOLOREKTAL DI MALAYSIA
Apakah status kanser kolorektal di Malaysia ? Berdasarkan banci statistik dari tahun 2007 hingga 2011, kanser kolorektal adalah kanser kedua penyebab kematian di kalangan rakyat Malaysia selepas kanser payudara .
Dari segi jantina pula, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki (16.9%) dan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan wanita (10.7%). Senario ini lebih memudaratkan rawatan bila lebih 70% kanser kolorektal dikesan berada pada tahap 3 serta 4 iaitu masing-masing 72.4% dalam kalangan lelaki dan 73.1% dalam kalangan wanita.
Oleh itu, bagaimanakah kita boleh mengelakkan atau mengelakkan senario ini berlaku? Jawapannya ialah ujian saringan berkala.
UJIAN SARINGAN
Di Malaysia ujian saringan untuk kanser kolorektal telah wujud sejak 2014 dan ujian saringan yang tak invasif yang dilakukan adalah ujian darah dalam najis atau ‘fecal occult blood test’ (FOBT).

Di sini najis pesakit dikaji untuk kesan darah dan sekiranya positif, pesakit perlu menjalani ujian kolonoskopi untuk mengesan punca darah tersebut seperti polyp atau barah usus. Ada dua ujian FOBT ini iaitu guaiac dan immunochemical fecal occult blood test.
Ujian guaiac adalah ujian kaedah yang lama di mana pesakit perlu pantang dan tidak memakan makanan yang berdaging tiga hari sebelum ujian. Ini adalah kerana kesan darah dari daging akan memberi keputusan ‘false positive’.
Berlainan pula dengan immunochemical FOBT di mana pesakit tidak perlu berpantang dan ujian ini adalah khusus untuk megesan darah dari usus. Tetapi ujian ini agak mahal dan semua ujian FOBT ini dapat di buat di klinik kesihatan.
Kanser kolorektal ini boleh dicegah dan dirawat sebaik-baiknya dengan menjalani ujian saringan ini. Saringan ini bertujuan mengenal pasti atau mengesan tanda kanser terutama pesakit yang tidak menunjukkan gejala dan tidak mempunyai sejarah penyakit kanser kolorektal. Adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian, walaupun anda tidak mengalami sebarang tanda dan gejala.
SIAPA YANG LAYAK?
Siapakah yang layak untuk ujian saraingan ini? Individu berisiko tinggi dan mencapai usia 50 tahun digalakkan menjalani ujian saringan kolorektal. Individu berisiko tinggi ditujukan kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser kolon atau masalah syndromic usus seperti HNPCC atau FAP.
Golongan lelaki dan perempuan berumur 50 hingga ke 75 tahun wajib menjalani pemeriksaan disebabkan peratusan kanser semakin bertambah bagi individu yang berumur lebih daripada 50 tahun.
Sekiranya ujian najis positif, anda akan dirujuk ke hospital untuk ujian kolonoskopi. Jika ia negatif, pesakit dinasihatkan mengulangi ujian ini selepas dua tahun.
Kolonoskopi pula adalah prosedur yang dilakukan di bilik rawatan harian. Dalam prosedur ini, doktor menggunakan skop bertiub panjang dan boleh melentur (fleksibel) dan berhujungkan kamera video bagi memudahkan pemeriksaan keseluruhan kolon dan dubur. Di sini sekiranya terjumpa polip, polip itu akan di kelurkan semasa ujian kolonoskopi ini.
Kanser usus bermula dengan polip yang tumbuh berbentuk benjolan kecil seperti cendawan pada permukaan usus. Oleh itu polip itu perlu dikeluarkan. Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa sekiranya polip dikeluarkan, ia akan megurangkan risiko kanser hampir kepada 70%-90%.
KESIMPULAN
Oleh itu anda digalakkan untuk menjalani ujian saringan untuk kanser kolorektal. Anda mungkin dapat dirawat di peringkat yang awal sekiranya kanser dikesan. Prognosis anda adalah lebih baik jika mendapat rawatan awal.
Yang paling penting adalah membuat saringan awal kanser kolorektal agar anda dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna bersama keluarga tersayang.
Sekiranya anda perlu mengetahui lebih lanjut tentang ujian saringan kanser kolorektal anda boleh berhubung dengan Datuk Dr. Shankar Gunarasa, Pakar Bedah Umum, Laparoskopi dan Kolorektal di Pantai Hospital Ayer Keroh Melaka di talian 06 2319999 Samb; 2131.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.