Ujian Ramadan, tiga beranak tinggal sehelai sepinggang

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KESIDANG 24 Mac – “Abang mintak maaf mama, tidak dapat selamatkan rumah. Rumah terbakar,” kata Airish Zaquwan Affizi, 15, ketika menjawab panggilan Norhafiza Nor Azli, 40, selepas kediaman mereka di Taman Merdeka Jaya, di sini, musnah dalam kebakaran jam 11.15 malam semalam.

Norhafiza berkata, ketika kejadian dia mengambil upah sebagai pembantu gerai berada di bazar Aidilfitri di Ayer Keroh, secara tiba-tiba berasa ada yang tidak kena lalu menghubungi anaknya itu pada jam 11.30 malam.

Katanya terdahulu pada jam 8 malam, Airish Zaquwan menghubunginya bagi memaklumkan dia mahu tidur dan memintanya mengecas telefon selepas pulang dari tempat kerja.

“Pada mulanya saya hanya buat panggilan suara, selepas dijawab anak terus memaklumkan kediaman kami terbakar. Bagi mendapatkan kepastian saya terus membuat panggilan video.

“Melihat api sedang marak saya meminta Airish Zaquwan keluar dari rumah. Kemudian saya minta kebenaran daripada majikan untuk pulang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

WhatsApp Image 2023-03-24 at 12.06.55 PM (1)
MANGSA kebakaran Norhafiza Nor Azli dan dua anaknya.

Ibu tunggal kepada dua anak itu berkata, meskipun kehilangan harta benda dan kini tinggal sehelai sepinggang namun dia bersyukur kerana anaknya selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semuanya musnah, tiada apa yang tinggal, peralatan persekolahan anak-anak juga rentung. Agak sedih kejadian berlaku pada Jumaat pertama Ramadan.

“Tetapi Alhamdulillah, harta saya iaitu anak selamat, tidak dapat bayangkan kalau dia tidur lena dalam biliknya itu,” katanya.

WhatsApp Image 2023-03-24 at 12.16.18 PM (1)
KEADAAN kediaman Norhafiza yang musnah dalam kebakaran malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sukarelawan Bencana Negeri Melaka, Ashwad Abd Rahim berkata, terkesan dengan kejadian menimpa tiga beranak itu, pihaknya akan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa.

“Persatuan akan melancarkan tabung kilat untuk membantu meringankan beban termasuk jika perlu kita akan mencari kediaman sementara untuk tiga beranak ini berteduh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2496
Kongsi :
Previous post Rindu kenangan beraya dengan arwah ayah
Next post Lima lebuh raya terlibat sistem pembayaran tol terbuka – Nanta
Ubah saiz-+=