Sorting by

×

Ujian 79 kilometer pantau prestasi perkhidmatan telekomunikasi dua daerah

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

ASAHAN 16 Julai – Kira-kira 30 delegasi membabitkan wakil pengendali syarikat telko, agensi kerajaan negeri dan persekutuan terlibat dalam Program Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular Negeri Melaka, hari ini.

Ujian rondaan dua daerah membabitkan jarak 79 kilometer itu diketuai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan itu membabitkan panggilan suara selain kualiti internet.

Fairul Nizam berkata, ujian itu bertujuan untuk mengenal pasti kawasan yang mempunyai liputan rendah dan taburan penempatan signifikan dalam usaha Kerajaan Negeri menambah baik kualiti perkhidmatan telekomunikasi negeri ini.

“Menerusi ujian ini kita menumpukan kepada isu panggilan suara, ‘dropped call’, internet dan pelbagai lagi pada jalan perhubungan utama yang menghubungkan antara daerah Alor Gajah dan Jasin.

“Perjalanan ujian ini bermula daripada Rembia, Sungai Petai, Selandar seterusnya ke Batang Melaka, Jus, Felda Bukit Senggeh, Simpang Bekoh dan Asahan.

“Ia dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Melaka bersama lima syarikat rangkaian perkhidmatan mudah alih terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di Japerun Asahan.

Hadir sama, Pengarah MCMC Melaka, Syed Isa Alsagoff, Pengarah Jabatan Penerangan negeri (JaPen), Ab Rasil Hajatil, Ketua Pegawai Operasi Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), Mohd Jailani Deraman serta tetamu lain.

Katanya, ujian itu disasar akan diadakan sekurang-kurangnya 10 kali setahun terutama membabitkan kawasan penempatan penduduk dan luar bandar.

“Setakat ini ia telah dilaksanakan sebanyak dua kali dan akan terus diadakan berperingkat sehingga penghujung tahun ini.

“Ujian ini juga merupakan antara penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan isu berkaitan perkhidmatan telekomunikasi di Melaka terus dipantau dan ditangani dengan kadar segera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

214
Kongsi :
Previous post Dakwaan wad kanak-kanak hospital di Melaka penuh tak benar
Next post JENDELA Fasa 2: Melaka bina 11 lagi menara telekomunikasi
Ubah saiz-+=