UiTM Melaka sasar sumbang RM10,000 tanda solidariti kepada Palestin

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka menyasarkan sumbangan awal RM10,000 sebagai tanda solidariti kepada Palestin.

Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini berkata, sumbangan tersebut diuruskan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) bagi membantu serta mendukung perjuangan rakyat Palestin.

“Sasaran kita berikan bantuan RM10,000 sebagai permulaan bagi kampus Melaka dan akan terus digerakkan sekiranya mendapat komitmen daripada seluruh warga kampus yang terdiri daripada kakitangan pengurusan dan pelajar.

“Kesedaran dan sikap peduli terhadap kemelut yang sedang berlaku ini perlu diterapkan dalam jiwa anak muda di peringkat universiti agar mereka tidak leka dan lalai dengan propaganda barat,” katanya dalam majlis pelancaran Program For Palestine.

Sementara itu, pensyarah kanan FKPM selaku ketua misi Solidariti For Palestine, Shafezah Abdul Wahab berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha sama strategik antara UiTM Cawangan Melaka, Cinta Gaza Malaysia, MyAqsa Defenders dan Suspended Meal Association Malaysia.

“Kami akan melakukan apa yang wajar, walaupun dengan keupayaan terhad, untuk membantu saudara kita di Palestin yang menderita.

“Umat Islam di Malaysia perlu mengetepikan perbezaan terutamanya dari segi pegangan politik sebaliknya mendukung perjuangan rakyat Palestin ketika ini,” katanya.

Sejak 7 Oktober lalu, pertempuran di Palestin antara Hamas yang merupakan pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel mengakibatkan ribuan nyawa terkorban termasuk kanak-kanak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1841
Kongsi :
Previous post Didik komuniti pentingnya amalan kitar semula
Next post Had 200 pengunjung ke Taman Laut Melaka
Ubah saiz-+=